"Boleh menang ke?" Itu persoalan yang sering dilontarkan kepada penulis untuk apa sahaja perlawanan membabitkan skuad bola sepak negara!

Terbaru mengenai peluang untuk perlawanan menentang Hong Kong bagi kempen kelayakan Piala Asia 2019 pada Selasa setelah anak buah Nelo Vingada perlu melunaskan misi wajib menang bagi menyalakan harapan untuk mara ke peringkat seterusnya.

Walaupun baru mengharungi dua perlawanan, nasib skuad Harimau Malaya ibarat telur di hujung tanduk selepas tewas 1-2 kepada Lubnan, Jun lalu dan terikat 1-1 bertemu Hong Kong di laman sendiri awal bulan lalu.

Untuk rekod, skuad negara belum meraih kemenangan dalam empat perlawanan terakhir sejak Vingada membimbing pasukan ini Jun lalu.

Berdasarkan statistik itu, sukar juga penulis mahu menjawab persoalan yang diajukan rakan rapat, kenalan bola sepak dan lain-lain termasuklah bekas pemain serta jurulatih, sama ada boleh menang atau sebaliknya ketika penulis sering bersikap optimis terhadap bola sepak negara!

Sememangnya, ujian besar menanti anak buah Vingada di Kowloon apatah lagi mereka hadir ke sana tanpa beberapa tonggak utama.

Tatkala Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Rizal Ghazali menjalani penggantungan perlawanan, Ahmad Hazwan Bakri dan Shahrel Fikri Fauzzi pula ditimpa kecederaan, manakala Nor Azam Azih ekoran komitmen peribadi.

Pasukan lawan yang turut mendambakan kemenangan pula tampak lebih bersedia untuk pertemuan kedua, kedua-dua pasukan ini menerusi persiapan rapi dengan membawa masuk 10 pemain baru naturalisasi.

Kini, penulis mengharapkan kombinasi pemain muda dan senior mampu menghadirkan impak berbeza kepada skuad negara untuk mencapai kemenangan sulung dalam kempen kelayakan ini dan terutamanya buat 'The Profesor'.

Skuad negara mempunyai lima pemain muda yang mampu menggalas tugas dalam kesebelasan iaitu Matthew Davies, Adam Nor Azlin, Safawi Rasid, Ifwat Akmal Che Kassim dan Syamer Kutty Abba.

Semoga maju jaya buat Harimau Malaya!