Skuad Itali kini sedang melakukan persiapan terakhir menjelang aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2018 apabila turun menentang Sweden di Friends Arena pada awal pagi Sabtu ini.

Debaran kian memuncak buat anak-anak buah Giampiero Ventura apabila terpaksa mengharungi pusingan playoff sebelum memastikan tempat di Russia pada tahun depan setelah akur dengan kehebatan Sepanyol dalam saingan pusingan pertama Kumpulan G.

Itali bukan satu nama asing dalam kancah Piala Dunia. Lebih-lebih lagi dengan status juara sebanyak empat kali, tiada sebab untuk Azzurri gagal melayakkan diri walaupun pernah mengalami situasi itu 59 tahun lalu!

Pemain paling mencuri tumpuan dalam pasukan kali ini pastinya ketua pasukan serta pemain paling senior dalam skuad terkini, Gianluigi Buffon.



Buffon yang terkenal dengan sorakan alé Buffon alé alé (Buffon tetap hidup), mengumumkan akan bersara sebaik sahaja tirai musim 2017/18 dilabuhkan, sekaligus akan melakukan penampilan terakhir dalam Piala Dunia sekiranya Itali layak.

Tatkala dirinya kini berkongsi rekod lima penampilan dalam edisi Piala Dunia yang berbeza bersama Lothar Matthaus (Jerman) dan Antonio Carbajal (Mexico), dia pasti menyimpan cita-cita untuk melangkaui catatan tersebut.

Buffon juga berpeluang untuk memecahkan rekod penampilan terbanyak di dunia bersama skuad kebangsaan apabila menduduki tangga ketiga dengan 173 penampilan.

Turun menentang Sweden, Buffon pastinya memiliki memori yang tidak akan dilupakan bersama negara dari utara Eropah itu. Antaranya, Euro 2004.

Dalam saingan di Estádio do Dragão, Porto, 13 tahun lalu, jaringan Zlatan Ibrahimovic ketika permainan berbaki lima minit menyebabkan Itali terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1, sekaligus merentap peluang untuk mara ke suku akhir. Itali menewaskan Bulgaria 2-1 dalam aksi terakhir tetapi terpaksa berpuas hati di tangga ketiga di belakang Sweden dan Denmark yang seri 2-2 dalam perlawanan terakhir serta terlepas tiket ke kelompok lapan terbaik.



"Masa telah berlalu. Disingkirkan daripada Euro 2004 oleh dua pasukan utara Eropah amat perit untuk diterima tetapi jika kami melakukan dengan lebih baik dari awal, keadaan pastinya berbeza," kata Buffon apabila diminta mengulas kebarangkalian keputusan di antara Denmark dan Sweden ketika itu adalah sesuatu yang dirancang.

Buffon yang dianugerahkan Penjaga Gol Terbaik UEFA dua minggu lalu juga tentunya mengharapkan kejayaan buat kali kedua di peringkat antarabangsa selepas mengatasi Perancis menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi final di Jerman ketika berusia 28 tahun (2006).

Membuat penampilan sulung bersama Azzurri, 20 tahun lalu, Buffon yang bakal menjengah usia 40 tahun pada Januari ini menjadi pemain tunggal daripada skuad juara 2006 yang masih beraksi dan sudah pasti, dia kekal berpegang kepada laungan semangat itali, Forza Italia.



Tidak kira sama ada dia akan tetap dengan keputusan untuk bersara atau tidak, penjaga gol legenda Itali ini pasti akan berada dalam setiap ingatan penyokong setia skuad Azzurri sampai bila-bila.

Alé Buffon alé alé!