Temasya Wrestlemania kembali merancakkan industri gusti profesional tahun ini. Setelah bergelut dengan pandemik Covid-19 yang menyebabkan Wrestlemania terpaksa diadakan tanpa kehadiran penonton di WWE Perfomance Centre tahun lalu, tahun ini kemeriahan kembali terasa apabila Raymond James Stadium akan menjadi medan tempur untuk Wrestlemania edisi ke-37 pada 11 dan 12 April ini (waktu tempatan).

Seiring dengan acara tahunan terbesar WWE itu, pastinya minggu ini merupakan minggu yang sibuk untuk para WWE Universe yang akan disajikan dengan pelbagai pengisian sejak Selasa lalu. Bermula dengan acara Raw pada Selasa, diikuti dengan majlis penganugerahan Hall Of Fame WWE hari berikutnya selama dua hari berturut-turut dan acara Smackdown pada Sabtu ini. Semuanya bagi memeriahkan perjalanan menuju ke acara kemuncak Wrestlemania pada Ahad ini.

Namun sebelum melangkah ke Wrestlemania, para peminat pastinya akan ternanti-nanti acara WWE NXT Takeover: Stand And Deliver yang juga akan bersiaran selama dua hari berturut-turut. Ia bolehlah diibaratkan sebagai acara pemanas badan untuk persediaan menuju ke Wrestlemania dan pelbagai perlawanan hebat telah disenaraikan oleh jenama hitam keemasan tersebut.

Untuk acara malam pertama NXT Takeover pada hari ini, tumpuan pastinya terarah kepada perlawanan bagi merebut Kejuaraan Wanita NXT di antara penyandang juara Io Shirai yang menerima tentangan Raquel Gonzalez. Tidak ketinggalan perebutan Kejuaraan NXT UK di antara juara bertahan Walter yang akan dicabar oleh Tammaso Ciampa yang pastinya akan mempamerkan perlawanan hard hitting yang padu di antara kedua mereka.

Acara untuk malam kedua pula bakal menyaksikan perlawanan membalas dendam di antara dua bekas anggota Undisputed Era iaitu Kyle O’ Reilly dan Adam Cole dalam perlawanan tanpa sekatan undang-undang. Juga pertembungan buat pertama kali Juara NXT Finn Balor dan Karrion Kross dalam perebutan kejuaraan utama NXT itu serta pelbagai lagi perlawanan menarik yang pastinya akan membuat para penonton terpempan dengan aksi-aksi yang akan ditampilkan oleh bintang-bintang masa depan WWE ini.

Acara Wrestlemania pula pastinya akan menggamit semula kemeriahan apabila para penonton akan membanjiri separuh daripada kapasiti penuh penonton di stadium kelak. Juga akan bersiaran selama dua hari berturut-turut, malam pertama akan membariskan beberapa perlawanan hebat seperti pertemuan Shane McMahon dan Braun Strowman dalam perlawanan sangkar besi, Sasha Banks menerima cabaran daripada pemenang acara Royal Rumble wanita 2021 Bianca Belair untuk Kejuaraan Wanita Smackdown, New Day menentang AJ Styles dan Omos untuk Kejuaraan Beregu Raw dan banyak lagi.

Acara utama pula akan menyaksikan pertembungan epik dua bintang power house WWE iaitu Drew McIntyre yang dalam misi untuk merampas semula Kejuaraan WWE dengan menentang penyandang juara Bobby Lashley. Mampukah Drew menumbangkan ego Lashley yang kini semakin selesa di bawah pengurusan mentornya MVP?

Malam kedua acara Wrestlemania pada Isnin ini pula tidak kurang hebatnya. Randy Orton akan mendepani The Fiend yang hidup kembali setelah dibakar hidup-hidup di acara WWE TLC pada Disember lalu, Riddle menentang Sheamus untuk Kejuaraan Amerika Syarikat, Big E menerima tentangan daripada Apollo Crews untuk Kejuaraan Antara Benua dan Asuka pula akan dicabar oleh bekas Juara Wanita NXT yang baru sahaja menyertai Raw iaitu Rhea Ripley bagi Kejuaraan Wanita Raw.

Pemenang Royal Rumble lelaki 2021 Edge pula akan beraksi di perlawanan kemuncak tiga penjuru menentang Juara Universal Roman Reigns dan Daniel Bryan dengan kejuaraan milik Roman menjadi taruhan. Setelah disabotaj ketika acara WWE Fastlane bulan lalu, Bryan tidak berpuas hati dan diberi peluang untuk menebus kembali kekalahannya dengan dimasukkan ke dalam perlawanan tiga segi ini. Adakah sejarah Wrestlemania XXX pada 2014 akan berulang di mana Bryan akan diangkat sebagai juara? Atau Edge akan menamatkan kemarau kejuaraanya selama sedekad dengan kembali bergelar juara tertinggi di jenama Smackdown itu? Atau barangkali Roman akan mengambil kesempatan dalam perlawanan tiga penjuru ini dengan memanfaatkan segala ruang yang ada untuk mempertahankan kejuaraannya?

Semua persoalan ini akan terjawab hujung minggu ini di acara Wrestlemania yang hanya boleh anda ikuti di rangkaian WWE Network saluran 821 dan 841. Keterujaan untuk menyaksikan kembali acara WWE dengan gegak gempita sorakan penonton pastinya semakin dirasai dan menebus semula kekecewaan Mania yang begitu sunyi sepi tahun lalu.

Khas buat para pelanggan WWE Network di Astro, anda kini berpeluang untuk memenagi barangan eksklusif Wrestlemania anjuran Stadium Astro dengan menjawab beberapa soalan melalui pautan ini (terma dan syarat). Selamat mencuba.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acara Wrestlemania 37 pada 11 dan 12 April ini serta kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.