Mike Dean sentiasa mendapat tumpuan pengguna media sosial, tidak kira keputusan yang dilakukan mahupun gerak-geri badan ketika mengadili sesuatu perlawanan.

Terbaru, tular di media sosial yang melihatkan Dean sebagai seorang penyokong bola sepak, bukan pengadil di atas padang.

Dalam perlawanan playoff Liga Dua Inggeris di antara Forrest Green dan Tranmere Rovers, Dean antara penyokong yang berada di bahagian pasukan pelawat.

Kehadirannya dapat dihidu pihak penyiar dan segala tindak-tanduknya dirakam kamera.

Apa yang mencuit hati, gelagatnya ketika meraikkan kemenangan Tranmere untuk ke final playoff di Wembley.

Dia memanjat tiang pagar dan bersama-sama penonton lain menjerit dan bersorak seperti seorang peminat tegar.

Ia jauh berbeza dengan karakternya ketika di atas padang mengadili perlawanan Liga Perdana Inggeris.

Dean yang berasal dari Wirral, tidak menyembunyikan sokongan kepada pasukan kampung halamannya dan dijangka akan turun ke Wembley 25 Mei ini bersama-sama penyokong

Tranmere memburu slot ke Liga Satu Inggeris.

“Mike sangat menyayangi Tranmere. Dia banyak kali turun ke stadium memberi sokongan kepada kami, dan saya sangat gembira untuknya,” kata pengurus Tranmere, Micky Mellon, selepas perlawanan itu.

Dean menjadi sensasi pada April lalu selepas menjadi pengadil pertama melayangkan 100 kad merah dalam Liga Perdana; dengan purata satu kad merah dalam setiap lima perlawanan.

Pengadil berusia 50 tahun itu juga pernah menyembunyikan bola perlawanan di dalam bajunya ketika diminta Sergio Aguero selepas penyerang itu menjaringkan hatrik menentang Chelsea.

Namun, itu semua yang membuatkan Dean seorang pengadil unik dalam Liga Perdana Inggeris.