Bajet tahunan hanya sekitar RM6 juta, tiada pemain berpengalaman yang dikenali dan berdepan masalah kewangan kebelakangan ini, MIFA tidak perlu tunduk malu menyembah bumi sebaik tersingkir dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) menerusi kekalahan 0-3.

Sebagai wartawan yang sentiasa mengikuti rapat perkembangan pasukan kendalian K. Devan ini, apa yang mereka persembahkan dalam Piala Malaysia dan Liga Perdana, MIFA telah pamerkan lebih daripada jangkaan ramai pihak.

Menewaskan JDT di Larkin pada 5 Ogos lalu akan kekal terpahat sebagai satu sejarah, malah beri saingan sengit kepada Kedah dan Kelantan namun perlu akur hanya perbezaan jaringan merencatkan rezeki mereka cipta sejarah ke suku akhir dalam penampilan sulung.

Diperakui MIFA bukanlah sebuah pasukan yang ada seni tersendiri sepertimana dimahukan pencinta bola sepak tetapi, semangat, disiplin serta kerja keras di atas padang menghalang kemaraan lawan antara perkara yang dikagumi penulis.

Berdasarkan falsafah 5-3-2 semasa bertahan dan 3-5-2 dalam situasi menyerang, MIFA boleh dianggap pasukan yang mengamalkan corak permainan keras tapi efektif bagi meraih kemenangan.

Kehadiran empat pemain import diketuai Kpah Sherman, Elizeu Areujo dan Bae Beom Geun memberi sedikit kelebihan kepada MIFA yang dilihat lulus dalam pencarian awang import berkualiti berbanding musim lalu.

Malah, kita sudah boleh melihat ada beberapa pemain potensi berbangsa India yang sudah tidak lama kedengaran seperti R.Barathkumar, B. Tinagaran dan P. Rajesh.

Kini, soalnya adakah mereka mampu meneruskan rentak positif tersebut ke musim depan ketika kedudukan kewangan MIFA menjadi persoalan sebaik perubahan kerajaan pada pertengahan tahun ini yang membuatkan gaji pemain tertunggak beberapa bulan.

Berdasarkan perbualan dengan Devan, dia memberi jaminan bahawa MIFA akan tetap terus bersaing dalam Liga Perdana malah mereka sudah menarik perhatian beberapa syarikat korporat untuk menjadi penaja musim depan.

Jika benar, ia satu berita yang baik kerana kita tidak mahu ada pasukan yang menarik diri kerana faktor sebegini yang semestinya bakal merencatkan kemeriahan Liga Malaysia selain mahu melihat pemain-pemain muda berbangsa India dilahirkan.

Bertambah menarik, MIFA mungkin dijangka mendapat penajaan lebih banyak berbanding musim ini, sekaligus mampu letakkan antara pencabar utama kejuaraan Liga Perdana pada 2019.

Apapun, syabas buat Devan kerana membuktikan dia seorang jurulatih yang masih ada sentuhan setelah gagal menyerlah bersama beberapa pasukan lama ketika di Felda United, Kelantan dan Pulau Pinang.