Bagi kami warga kerja Astro Arena, Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 bermula secara rasmi pada hari ini apabila atlet negara turun beraksi dalam acara bola sepak lelaki dan bola jaring.

Tempoh bekerja akan bertambah, mungkin sehingga 16-18 jam sehari namun alah bisa tegal biasa kerana semua itu demi kepuasan rakyat Malaysia.

Liputan temasya kali ini paling besar buat Astro Arena sejak ditubuhkan pada 2010 kerana ini kali pertama kami membuat liputan di negara sendiri.

Jadi, ia dijangka jauh mengatasi liputan Indonesia 2011, Myanmar 2013 dan Singapura 2015.

Tarikan utama pastilah terhadap bola sepak yang akan memulakan cabaran Kumpulan A bersama Singapura, Brunei, Myanmar dan Laos.

Ramai yang letak harapan agar skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee mampu merampas semula pingat emas selepas kali terahir di Indonesia 2011 bermula dengan kemenangan ke atas Brunei.

Saya sempat menemui beberapa atlit negara yang mewakili sukan lain dan mereka sememangnya berharap skuad bawah 22 tahun negara dapat membuka tirai Sukan Sea dengan langkah kanan.

"Kami bukan mahu letak tekanan, tetapi saya harap mereka menang perlawanan pertama. Dalam semua sukan, perlawanan pertama paling penting terutama apabila mereka mewakili kontinjen negara," kata atlit lawan pedang, Ahmad Syukran Mohd Syahir.

Di atas kertas, Malaysia mampu menumbangkan Brunei di Stadium Shah Alam dan ia dijangka dapat liputan menyeluruh berbanding satu lagi perlawanan Kumpulan A membabitkan Myanmar dan Singapura.

Kempen skuad bola jaring di Stadium Juara Bukit Kiara juga unik.

Realitinya, mereka yang akan membuka tirai temasya kali ini apabila menentang Thailand, beberapa jam lebih awal berbanding skuad bola sepak negara.

Namun, dengan reputasi selaku juara Asia, skuad kendalian Tracey Robinson dijangka tidak berdepan masalah untuk raih kemenangan pertama.

Perlu diingatkan, Malaysia raih perak dua tahun lalu namun kali ini disasarkan rampas emas milik Singapura.

Jadi, bola sepak lelaki dan bola jaring akan memulakan kempen Malaysia pada Sukan Sea dengan apa jua keputusan yang diraih, ia akan dianggap sebagai permulaan yang akan menentukan hala tuju kontinjen negara.

Bagi peminat, mesti mahu langkah kanan kerana selepas berhempas-pulas sejak dua tahun lalu, mereka sudah sedia untuk meraikan atlit sebagai wira sukan negara.

Selamat berjaya kontinjen Malaysia, buru 111 emas dan muncul juara keseluruhan Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.