Ketika tumpuan peminat sukan negara terarah kepada badminton Terbuka Malaysia, isu rasuah bola sepak Malaysia dan persiapan Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 - ada seorang atlit negara sedang bersiap-sedia buru gelaran dunia.

The Pocketrocketman, Azizulhasni Awang kini berada di Hong Kong untuk memburu gelaran dunia pertamanya.

Pemenang pingat gangsa acara keirin Sukan Olimpik Rio 2016 itu ditemani pelumba muda, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang akan mencabar keirin dan pecut individu.

"Saya mempunyai dua impian sebelum bersara iaitu bergelar juara dunia dan pingat emas Olimpik. Kejohanan dunia cukup istimewa kerana sudah mencuba sejak 2007 namun masih gagal muncul juara dunia.

"Kali ini saya dapat rasakan sesuatu yang berbeza. Saya berada di tahap terbaik, berbeza berbanding di Rio dan mungkin kali ini, peluang keemasan untuk muncul juara dunia," katanya.

Sebenarnya, saya bimbang mengenai barisan atlit yang memenangi pingat Olimpik Rio kerana mereka boleh hanyut dibuai kejayaan.

Namun, kebanyakan daripada mereka menunjukkan kematangan dan kembali memberi tumpuan terhadap tugas sebagai atlit.

Azizul contohnya berjaya menjulang kejuaraan Asia buat kali kelapan apabila raih emas keirin Kejohanan Basikal Trek Asia di New Delhi, India, Februari lalu.

Walaupun ketika itu prestasinya tidak begitu baik kerana terlepas banyak sesi latihan, namun ia petanda bahawa pelumba bertubuh kecil ini tidak perlukan banyak masa untuk kembali capai prestasi terbaik.

Saya juga melihat Hong Kong sebagai peluang terbaik Shah Firdaus membuktikan kemampuannya di pentas antarabangsa.

Jika Azizul perlu membuat tiga percubaan untuk raih pingat sulung kejohanan dunia, mungkin Shah Firdaus boleh cipta kejutan.

Dia kini menghuni ranking keempat dunia berbanding Azizul, 13 (kerana tidak menyertai Siri Piala Dunia).

Begitupun, saya masih lagi letak kepercayaan bahawa Azizul miliki peluang lebih baik bukan untuk perak atau gangsa yang pernah dimenangi pada 2009, 2010, 2015 dan 2016, tetapi merampas gelaran juara dunia.