Bintang Barcelona, Lionel Messi, mempunyai pilihan untuk menamatkan kontrak bersama The Catalan hujung musim ini yang sekali gus mencetuskan gosip-gosip liar bahawa beliau bakal berpindah ke pasukan baru dalam masa terdekat. Jika sebelum ini pernah terdapat spekulasi Messi bakal mengikuti Pep Guardiola ke Bundesliga dan Liga Perdana Inggeris, namun kesetiaan Messi tetap bersama The Catalan biarpun pasukan itu kerap mengalami krisis kejurulatihan sejak akhir-akhir ini.

Melalui detik-detik gemilang bersama Barcelona sepanjang karier di usia muda, berbagai anugerah dan gelaran berjaya diraih sehingga ramai pihak melabel Messi sebagai seorang pemain bola sepak terbaik di dunia untuk sepanjang zaman. Bakal lagenda berusia 32 tahun ini, bagaimanapun, kurang bernasib baik untuk aksi bersama skuad kebangsaan apabila sering menampilkan aksi longlai apabila menyarung jersi putih-biru muda.

Dikhabarkan dua kelab, iaitu Inter Milan dan Newell Old Boys, bakal menjadi pilihan destinasi baru Messi yang telah menjadi sebahagian sejarah The Catalan sejak 2003.

Gosip perpindahan ke Newell Old Boys hadir selepas Messi dikhabarkan mahu kembali ke Argentina untuk tinggal bersama keluarganya. Spekulasi Messi akan berhijrah ke Nerazurri pula timbul selepas Barcelona dikhabarkan berminat mahu mendapatkan penyerang Lautaro Martinez di mana pertukaran pemain akan menjadi subjek utama dalam urusan jual dan beli.

Media sukan di Sepanyol, Itali dan di negara kelahirannya Argentina telah mengesahkan bahawa rundingan telah pun dilakukan di antara Barcelona dan Inter Milan di mana perpindahan ini hampir pasti berlaku.

Walaubagaimanapun, Messi menempelak pihak media dengan mengatakan ia merupakan suatu pembohongan sama seperti pembohongan mengenai dirinya menjamin pembebasan Ronaldinho dari penjara di Paraguay. Terdahulu, kapten Barcelona itu turut terpalit dengan isu pemotongan gaji selepas pemerhati mendakwa pasukan Barcelona lewat membuat pemotongan gaji bagi membantu ekonomi kelab selepas penularan wabak Covid-19.