Persoalan siapakah yang terhebat di antara Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo semakin memuncak dalam Piala Dunia Russia.

Ia satu perdebatan umpama api yang sedang marak dalam kalangan peminat bola sepak di seluruh dunia.

Dengan Piala Dunia 2018 sudah pun disingkap tirai pembukaannya, perincian terhadap Messi dan Ronaldo – yang sama-sama meraih lima anugerah Ballon d’Or sepanjang sedekad lalu – kini memasuki tahap optimum.

Sky News menampilkan hujah-hujah berkaitan kedua-duanya untuk perkongsian ramai.

Penyerang Real Madrid dan Portugal itu menikmati permulaan menakjubkan dalam temasya di Russia ini dengan menjaringkan hatrik dalam perlawanan pembukaan pasukannya menentang Sepanyol.

Pada usia 33 tahun, Ronaldo, penyandang Ballon d'Or ketika ini, menutup satu lagi musim gemilang bersama Real Madrid pada musim 2017/18 dengan trofi ketiga berturut-turut dalam Liga Juara-Juara.

Ia menandakan kali kelima Ronaldo mengecap nikmat kejayaan dalam saingan tertinggi Eropah itu, didahului buat kali pertama bersama Manchester United pada 2008.

Nafsu besar Ronaldo menggegar jaring bersama Real Madrid menyaksikan dia meraih 450 gol dalam 438 perlawanan, mengangkatnya selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman buat kelab berkenaan.

Seiring dengan kejayaannya dalam Liga Juara-Juara, karier gemilang Ronaldo merangkumi dua kejuaraan LaLiga, dua trofi Copa del Rey, empat pingat juara Piala Dunia Kelab FIFA, tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan satu trofi Piala FA.

Selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman untuk Portugal, dia boleh turut berbangga dengan pengiktirafan antarabangsa dengan mengetuai skuad negaranya menjuarai Euro 2016.

Berbeza sedikit ceritanya dengan Messi.

Di sebalik kegagalannya menyempurnakan sepakan penalti yang menyaksikan Argentina sekadar seri 1-1 dengan Iceland semalam, pemujanya mengharapkan dia akan memahatkan nama selaku pemain terhebat dalam sejarah jika dapat mengemudi pasukan tampil juara pada 15 Julai nanti.

Selaku kedua-dua penjaring prolifik dan perancang kreatif, bintang Barcelona berusia 30 tahun ini menutup satu lagi musim cemerlang bersama kelab Catalan itu pada 2017/18, dengan memenangi pingat juara LaLiga kesembilannya dan keenam dalam Copa del Rey.

Sejak menyertai Barcelona selaku pemain remaja, Messi telah memenangi Liga Juara-Juara empat kali dan Piala Dunia Kelab FIFA tiga kali.

Dia juga memacu Barcelona untuk kejayaan ‘treble’ bersejarah sebanyak dua kali – memenangi liga, piala dan Liga Juara-Juara pada musim 2008/09 dan 2014/2015.

Selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman buat kedua-dua Barcelona dan Argentina, Messi juga memegang rekod jaringan terbanyak dalam LaLiga dengan 383 gol dan jaringan terbanyak dalam semusim La Liga dengan 50.

Pemenang lima kali Ballon d'Or ini turut menjadi perintis kepada memenanginya untuk empat tahun berturut-turut di antara 2009 dan 2012.

Cuma, sedikit malang kejayaan bersama Argentina dalam Piala Dunia dan Copa America masih menjauhinya kecuali meraih pingat emas dalam Sukan Olimpik 2008 dan juara Piala Dunia Bawah 20 Tahun pada 2005.

Malah, Messi hampir berseorangan mengesahkan kelayakan Argentina ke Piala Dunia Russia dengan hatriknya dalam perlawanan kelayakan terakhir menentang Ecuador pada Oktober tahun lalu.

Berdasarkan perlawanan pembukaan masing-masing dalam Piala Dunia Russia 2018 ini, Ronaldo mungkin mendahului tapi tiada jaminan bukan Messi yang akan sampai ke garis penamat di Stadium Luzhniki, Moscow, 15 Julai depan.