Haria Penang Haria! Nak kata apa lagi ! Nama Faiz Subri sudah dijaja serata benua, dari Malaysia ke Amerika, merentasi sungai Amazon ke Andalusia dan akhirnya meluncur di Antartika hingga ke puncak dunia.

Pengumuman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa, FIFA pada lewat petang Jumaat tentang 3 calon akhir untuk anugerah gol tercantik Anugerah Puskas 2016 mampu menitiskan air mata seluruh rakyat negara.

Pada ketika bola sepak kita semakin lenyap untuk meneroka malah menghidu saingan elit Piala Dunia yang menghimpun puluhan pemain bola sepak tersohor masih ada yang mampu menjulang bola sepak Malaysia. Ia bukan datang daripada sebuah gabungan, bukan juga daripada sebuah pasukan tetapi daripada seorang pemain. Dia ialah Mohd Faiz Subri, anak jati Air Itam, Pulau Pinang.

Sejujurnya nama Faiz Subri dan bola sepak Malaysia sudah mula jadi perhatian dunia sejak gol luar biasa anak muda berusia 29 tahun ini pada Februari lalu. Ia berikutan tersebarnya di seluruh dunia menerusi medium laman sosial milik media penerbitan terkemuka tentang gol luar biasa Faiz.

Namun sebaik gol itu tercalon dalam kelompok 10 gol terbaik untuk anugerah Puskas FIFA 2016, bola sepak Malaysia semakin tinggi rating cariannya di laman sesawang. Peminat di seluruh dunia akan meneliti setiap calon menerusi video yang dipaparkan di laman sesawang rasmi FIFA. Pencarian akan lebih terperinci dengan meneroka profil pemain atas rasa ingin tahu. Secara tidak langsung seluruh dunia akan mengenali bola sepak Malaysia. Sekaligus bola sepak kita dikenali di seluruh dunia.

Dengan tersingkirnya bintang paling berpengaruh dan antara yang terkaya di dunia - Lionel Messi dan Neymar bermakna pencarian ke atas 3 calon akhir akan lebih besar dan tinggi. Keinginan peminat fanatik Messi dan Neymar akan lebih teruja untuk mengenali siapakah Mohd Faiz Subri ! Sehingga dia mampu membuat 2 pemain pujaan mereka tersingkir. Terima kasih Faiz Subri kerana mempopularkan bola sepak Malaysia di serata dunia.

Faiz Subri akan ke Zurich pada Januari tahun depan untuk menghadiri acara gilang - gemilang Anugerah Puskas FIFA 2016 sebagai calon akhir kategori gol terbaik dunia. Tiket yang tidak pernah dinikmati mana-mana pemain dari rantau Asia. Seluruh dunia akan tertumpu kepadanya sebaik pengumuman pemenang akan dibuat.

Secara peribadi saya percaya Faiz Subri bakal jadi pemenang kerana anak Pulau Pinang ini luar biasa. Ayuh seluruh rakyat Malaysia, kita jadikan gol Faiz Subri yang terbaik di dunia. Layari laman web rasmi FIFA untuk mengundi gol Faiz Subri. Undian dibuka sehingga 9 Januari 2017.

Faiz Subri - kita jumpa di Zurich!