Lionel Messi kalah, Josep Maria Bartomeu yang menang tapi presiden kelab Barcelona itu harus kini menebalkan mukanya kerana dilabelkan seorang yang tidak amanah dan tidak berpegang kepada janji.

Dalam mengumumkan keputusannya untuk kekal malam tadi, kapten Barca itu tidak berselindung bahawa perubahan pendiriannya itu adalah kerana terpaksa di samping telah dikhianati oleh seorang tokoh yang dihormatinya selama ini.

Adakah Messi akan gembira? Adakah hubungannya dengan Bartomeu mampu dipulihkan? Atau ia akan membawa kepada Bartomeu dikalahkan dalam pemilihan presiden selepas ini?

Hanya masa akan menentukan.

Bartomeu sebelumnya berkeras bahawa Messi tidak akan dibenar meninggalkan pasukan kerana klausa pelepasan dalam kontraknya sudah berlalu pada 10 Jun lalu dan perlu melunaskan €700 juta (RM3.4 bilion) andai berkeras mahu angkat kaki.

Sebaliknya, pemain itu pula mendakwa terdapat perjanjian lisan bahawa satu keputusan boleh dibuatnya sejurus musim 2019/20 berakhir.

“Saya telah memberitahu kelab, termasuk presiden, yang saya mahu pergi,” katanya dalam temu bual dengan Goal.com.

“Saya telah memberitahunya sepanjang tahun (ini) yang saya saya percaya ia masanya untuk saya meninggalkan pasukan.

“Saya percaya kelab ini memerlukan lebih ramai pemain muda, pemain baru dan saya berasakan masa saya di Barcelona sudah berakhir. Saya mohon maaf kerana saya selalu mengatakan saya mahu menamatkan karier saya di sini.

“Saya memaklumkannya kepada presiden dan dia selalu mengulangi bahawa pada penghujung musim, saya boleh memutuskan untuk kekal atau untuk pergi dan kesudahannya, dia tidak berpegang kepada janjinya,” kata pemain itu.



Messi menyambung: “Sepanjang tahun, saya memberitahu presiden saya mahu pergi, bahawa masanya sudah tiba untuk mencari sasaran baru dan hala tuju baru dalam karier saya.

“Setiap kali dia memberitahu saya, ‘Kita akan berbincang, bukan sekarang, itu dan ini’, tapi tiada apa-apa.

“Presiden tidak memberi sebarang bayangan terhadap apa yang sebenar dikatakannya.

“Apa yang mereka kata ialah saya tidak menyatakannya sebelum 10 Jun tapi ketika itu kami di tengah-tengah semua pertandingan dan itu bukanlah masanya.

“Selain itu, presiden selalu memberitahu saya, ‘Apabila musim sudah berakhir, anda putuskan jika mahu kekal atau pergi’.

“Dia tidak pernah menetapkan tarikh, dan (penghantaran faks oleh Messi) hanya untuk memaklumkan secara rasmi bahawa saya tidak akan terus (bersama Barca), tapi bukan untuk berlawan kerana saya tidak mahu berlawan dengan kelab.

“Jika itu (berlawan di mahkamah) adalah satu-satunya cara untuk saya pergi, maka biarlah saya kekal,” tambahnya.

Messi kini dijangka kembali ke latihan pra-musim di bawah pengurus baru, Ronald Koeman, sebelum bermulanya LaLiga bulan depan.

“Saya akan meneruskannya bersama Barcelona dan sikap saya tidak akan berubah di sebalik saya sudah membuat keputusan untuk pergi.

“Saya akan melakukan yang terbaik… saya sentiasa mahukan yang terbaik untuk kelab, bilik persalinan kami dan saya sendiri,” katanya lagi.

Ia bukan kali pertama Messi memutuskan untuk meninggalkan pasukan hanya untuk mengubah keputusan kemudian.

Cuma, kali ini dia berbuat demikian kerana terpaksa gara-gara dikhianati.