Dikenali sebagai seorang penyerang import yang berbisa, Rangel digeruni oleh mana-mana barisan pertahanan, memandangkan rekodnya di hadapan gol sangat memberangsangkan.

Mula dikenali ketika mewakili Perak pada tahun 2013, seterusnya Paulo Rangel mula menunjukkan taring di hadapan gol sekitar 2014 apabila dia meledakkan 30 gol untuk pasukanSelangor, 61.2% dari kesemua jumlah gol yang dijaringkan Gergasi Merah pada tahun tersebut.

Namun, walaupun melalui musim yang hebat bersama Selangor, termasuk memenangi Kasut Emas pada tahun 2014, Paulo Rangel membuat keputusan untuk meninggalkan Selangor, selepas mengakui bahawa beliau kecewa apabila pihak Selangor FA gagal membayar gaji beliau selama beberapa bulan.

Beliau kemudian berhijrah ke Terengganu, dan terus menyinar membantu pasukan penyu di awal musim.Beliau seterusnya menjaringkan 16 gol dalam semua pertandingan.

Walaubagaimanapun masalah bermula apabila Paulo Rangel digantung bermain selama 3 bulan selepas bertindak kasar sewaktu menentang Lions XII dalam Piala FA, dan selepas pada itu Rangel dikatakan mula cuba untuk keluar dari Pasukan Terengganu.

Sekembali dari penggantungan, persembahan Rangel juga dikatakan merudum secara mendadak dan kurang memberangsangkan, dan memaksa Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengeluarkan kenyataan untuk menjual beliau dan akhirnya selepas persetujuan bersama, Paulo Rangel meninggalkan Terengganu sebelum berakhirnya tahun 2015.

Walaupun hebat di hadapan gol, pada hakikatnya Paulo Rangel juga dikenali dengan sikapnya yang bermasalah. Sewaktu bersama Selangor juga, Paulo Rangel juga mempunyai masalah di atas padang, termasuk mengasari pemain Terengganu, dan menyebabkan dia digantung 2 perlawanan, di mana Selangor kemudian tewas dua perlawanan tersebut dan mengakhiri persaingan mereka untuk merebut piala liga.

Kisah yang sama berlaku apabila menjadi ayam tambatan bagi pasukan Terengganu, tindakan Rangel mengasari pengadil pada perlawanan menentang Lions Xii menyebabkan kekalahan Terengganu, dan juga menyebabkan prestasi Terengganu mula menurun apabila ketiadaan beliau.

Paulo Rangel masih belum membuat keputusan samada ingin terus beraksi di Malaysia, atau memilih untuk bermain di negara lain.

Namun persoalannya, jika Rangel ingin terus beraksi di Malaysia, adakah pasukan yang sanggup membayar pemain ini, dan mendapatkan khidmat jaringan yang hebat, tetapi harus menahan sabar dengan sikap disiplin beliau yang sering membawa padah ke seluruh pasukan?