Ketika artikel ini ditulis, skuad Roma yang lukanya masih berdarah itu baru tiba di Sofia, Bulgaria menjelang aksi UEFA Conference League menentang CSKA.

Skuad yang jauh dari kata keseimbangan, sudahpun melalui segala-galanya walaupun belum sampai setengah musim bersama-sama jurulatih Jose Mourinho. Ketika lagenda Portugal itu tiba di Rom, bau optimisme yang kuat seolah-olah menjadi tema kepada situasi ketika itu.

Optimisme tersebut sangat berasas. Ia berasal dari keterdesakan Mourinho untuk mengembalikan statusnya sebagai antara yang terbaik di dunia dan berakhir di keinginan Roma untuk keluar dari kemarau kejayaan dan benar-benar mencabar takhta bolasepak Itali. Semuanya tampak sempurna dan ia adalah perkahwinan suka sama suka di antara Roma dan Mourinho.

Namun, kedua-duanya juga sedar akan kewajiban mereka bersikap realistik dengan projek kali ini. Roma mencuba banyak perkara; menghadirkan Monchi dari Sevilla, bereksperimen bersama Eusebio di Francesco serta Paulo Fonseca namun semua nama-nama yang dianggap progresif di Eropah ini juga tidak mampu memberikan sebarang impak yang benar-benar positif.

Sehingga Mourinho tiba, yang mana beberapa keputusan beliau dalam lima bulan pertama ini benar-benar mengejutkan bukan sahaja Romanisti, malah juga sebahagian besar peminat bolasepak itali yang menghargai status Mourinho sebagai jurulatih terakhir yang berjaya memenangi treble di sana.

Jadi apa sebenarnya yang terjadi di Roma? Di ketika ini apa yang realistik untuk mereka dan mengapa pula mereka harus terus kekal realistik?

Skuad yang lemah

Jika dilihat kepada komposisi skuad Roma dan kita bandingkan pula ia dengan di mana Roma berada sekarang, majoriti dari kita akan setuju yang Mourinho sudah melakukan tugas yang baik. Menyedari perkara ini, beliau selalu menggunakan formasi yang bertukar-tukar di antara sistem empat atau tiga bek bergantung kepada keadaan skuad di hari perlawanan. Masalahnya ialah, kualiti dan kuantiti skuad ini berada pada tahap yang sangat teruk.

Mourinho bukanlah jurulatih yang terlalu gemar akan pertukaran pemain untuk tujuan merehatkan pemain utama. Ketika beliau meletakkan barisan kedua dalam aksi memalukan tewas 1-6 kepada Bodo Glimt, beliau belajar satu perkara yang mustahak; pemain simpanan beliau tidak boleh dipercayai sama sekali.

Jelas juga ketika tewas 0-3 kepada Inter hujung minggu lalu, ketiadaan Abraham dan kapten Pellegrini cukup untuk membuatkan pasukan ini tempang dan tidak kompetitif lagi. Mudah untuk kita lihat ini adalah kesalahan kelab kerana gagal mencipta kesinambungan tetapi harus diingat, Mourinho dilantik pada 4 Mei, jauh sebelum liga berakhir. Tentunya beliau harus lebih reaktif ketika itu untuk mengelakkan situasi ini.

Komedi Pertahanan

Tonton Roma musim ini dan fokuskan kepada barisan belakangnya sahaja, anda akan mendapati bahawa ini adalah rangkaian defensif yang ideal untuk sebuah kelab pertengahan liga, tidak lebih dari itu. Bukanlah bermakna Gianluca Mancini, Chris Smalling, Marash Kumbulla, Roger Ibanez dan lain lain tidak bagus, tetapi mereka bukanlah rangkaian yang mampu membawa Roma menyaingi kedudukan empat teratas liga.

Macini terkenal dengan semangat juangnya namun beliau juga selalu melakukan keputusan salah di waktu yang penting. Smalling cemerlang dalam setiap aksi berdepan lawan yang lebih lemah tetapi bergelut menentang kelab besar. Karsdorp mengalami keletihan tetapi tidak dapat diganti kerana Mourinho tidak percayakan bintang muda USA, Bryan Reynolds.

Kalau anda mengikuti Mourinho dari awal kariernya anda akan menyutujui bahawa ini adalah skuad dengan unit defensif terlemah pernah beliau miliki. Harus diakui bahawa pemain seperti Kumbulla, Vina dan Calafiori semuanya berpotensi besar tetapi tidak ada penghubung di antara mereka. Mencipta satu unit defensif tidak mudah dan walaupun Roma masih mampu mencipta beberapa siri kemenangan, kerisauan di bahagian pertahanan seakan satu gangguan yang tidak pernah pergi.

Apa seterusnya untuk Roma?

Roma telah melakukan beberapa keputusan perpindahan ekstrem sejak akhir ini. Sebahagian menjadi dan sebahagian pula tidak. Mungkin taktik itu perlu ditukar dengan menjadi lebih pragmatik di bulan Januari nanti. Seorang pertahanan berpengalaman yang masih di usia hujung 20an misalnya, boleh mengubah nasib mereka serta merta.

Di bahagian depan pula, mereka perlu lebih tajam. Pemain terbaik mereka setakat ini, Lorenzo Pellegrini senantiasa mencipta peluang namun tindakan penyudah selalu menghampakan. Tammy Abraham menunjukkan tanda-tanda seorang striker liga Itali yang ulung, tetapi juga masih mensia-siakan beberapa peluang keemasan. Situasi ini harus ditukar cepat dan sekiranya itu berlaku, Roma akan dipandang serius sekali lagi. Buat masa sekarang, mereka perlu realistik; bertahan hingga Januari, dapatkan beberapa pemain lagi dan cuba sekeras mungkin untuk separuh kedua musim nanti!