Tarikh yang sama, tahun yang berbeza. 4 tahun lalu, 14 Julai 2012, The Red Warriors julang trofi Liga Super dengan penuh bergaya selepas menewaskan Sarawak 3-1 di Stadium Sultan Muhammad IV.

Saya masih ingat ketika itu, selepas TRW terlebih dahulu menjulang gelaran juara Piala FA dengan kemenangan 1-0 pada aksi final menentang Sime Darby di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dua bulan kemudian, pada tarikh 14 Julai 2012 gelaran juara treble semakin menghampiri pasukan itu selepas trofi Liga Super menjadi milik mereka.

Dua gelaran juara ini terus menjadi pembakar semangat buat Kelantan untuk mereka memburu gelaran ketiga iaitu Piala Malaysia.

Saya hanya ingin sekadar mengimbau kembali tarikh bermakna ini dengan penyokong sejati kepada pasukan Kelantan yang ketika itu begitu gah di arena bola sepak negara kita.

Tetapi kini, di mana lagi agaknya kehebatan pasukan itu? Ramai penyokong yang rindukan saat manis 4 tahun lalu. Terlalu sukarkah untuk Kelantan sekurang-kurangnya menjulang satu gelaran musim ini?

Kempen Piala Malaysia sudah pun bermula dan menang 1-0 ke atas Pahang sekurang kurangnya beri semangat buat Kelantan bagi memastikan mereka terus pamerkan aksi cemerlang.

Baki saingan Liga Super juga diharap mampu disempurnakan dengan sebaik mungkin meskipun kita sedar, sukar untuk melangkah di tangga teratas liga.

Apa pun, setiap pasukan punya kenangan manis masing masing termasuklah Johor Darul Takzim, JDT yang kini dalam fasa yang telah berjaya cipta memori manis mereka.

Selamat maju jaya buat semua pasukan dalam mengakhiri musim 2016 tahun ini !