Usain Bolt? Tiada siapa yang mampu menyaingi kebolehan yang telah dipamerkan oleh atlet ini, tidak kira di atas mahupun di luar trek.

Muhammad Ali merupakan peninju yang berada di taraf yang tersendiri, tetapi Joe Frazier, George Foreman dan beberapa peninju lain mampu memberikan saingan kepadanya di dalam gelanggang.

Pelari yang membentuk semula sejarah sukan olahraga bakal mengucapkan selamat tinggal. Selepas mengakhiri saingan 100 meter Kejohanan Dunia IAAF 2017 di tempat ketiga, tewas kepada atlet dari Amerika Syarikat, Justin Gatlin dan Chris Coleman, Bolt melakukan catatan masa 9.95 saat di Stadium London.

Walaupun tewas kepada Gatlin, Bolt tetap dilihat sebagai seorang atlet yang paling unik. Sebelum ini, atlet kelahiran Jamaica ini tidak pernah ditewaskan di pentas tertinggi.

Gelagatnya sebelum memulakan perlumbaan merupakan cara untuk menepis sebarang tekanan yang dipikul sebelum membuat larian yang memukau dalam tempoh 10 saat.

Mula mendominasi acara pecut pada 2008, Bolt tidak pernah ditewaskan di pentas Sukan Olimpik, berjaya meraih sembilan pingat emas atau 'triple-triple' dalam acara 100m, 200m dan 4x100m (salah satu daripada pingat yang dimenangi terpaksa ditarik balik apabila rakan sepasukannya telah didapati menggunakan bahan terlarang).

Dia telah mencatatkan semula rekod dunia dalam ketiga-tiga acara tersebut. Daripada memecahkan rekod 200m milik Michael Johnson di Olimpik Beijing dengan catatan masa 19.30s sebelum memperbaiki rekod tersebut 19.19s di Berlin dalam Kejohanan Dunia 2009.

Sebelum ini, Bolt hanya tewas sekali di pentas Kejohanan Dunia, pada 2011, dia tidak dapat beraksi dalam acara 100m kerana melakukan 'false start' dan menyaksikan rakan senegaranya, Yohan Blake, meraih gelaran tersebut.

Ketika itu, Blake dilihat sebagai pencabar utama buat Bolt, meraih catatan terpantas dalam Kejohanan Kebangsaan Jamaica dalam acara 100m dan 200m menuju ke London 2012, tetapi gagal menyerlah di pentas tertinggi.

Dan Bolt terus menguasai acara pecut dengan penuh bergaya.

Tetapi dalam Kejohanan Dunia dua tahun yang lalu, Gatlin hanya tewas kepada Bolt dalam acara 100m dengan perbezaan 0.01s dan kali ini di London, giliran Gatlin untuk meraih semula gelaran raja pecut tersebut pada usianya mencecah 35 tahun.

Dengan kemenangan tersebut, Gatlin tidak dirai dengan sorakan, sebaliknya dicemuh oleh seluruh penonton yang hadir kerana masa silamnya yang terpalit dengan isu pengambilan bahan terlarang.

Selama bertahun-tahun dan beberapa dekad, acara pecut sering dikaitkan dengan masalah yang sama -- pengambilan bahan terlarang.

Shawn Crawford, Gatlin, Tyson Gay, Blake, dan Asafa Powell merupakan antara atlet yang didapati menggunakan bahan terlarang bagi mempertingkatkan mutu larian mereka dan telah digantung oleh Agensi Anti Dadah Dunia (WADA).

Selepas saingan Olimpik 2012, Bolt telah menegaskan bahawa dia bebas daripada bahan larangan tersebut dan ia terbukti, dengan sekali lagi mencipta kejayaan meraih tiga emas di Rio 2016.

Kini, dunia bakal kehilangan satu lagi permata sukan, untuk kali terakhirnya Bolt mencari kilauan emas dalam acara 4x100m pada 11 Ogos nanti -- sudah tiba masa untuk mengucapkan selamat tinggal.
Sama ada dia berjaya ataupun tidak, Bolt telah berjaya menghasilkan memori yang indah buat dunia.