Masih ingat dengan pasukan magis Ajax 2018/19? Gegaran Santiago Bernabeu, kejuaraan liga Eredivisie, permainan bola sepak mengagumkan yang ditampilkan Erik ten Hag. Satu dunia terpesona, media-media Eropah sibuk mencungkik satu-persatu profil pemain-pemainnya. Pada masa yang sama, penyokong Ajax faham benar akan situasi yang berlaku;

“Kita harus menikmati pasukan ini, kerana belum tentu kita akan jumpa lagi skuad sekuat ini untuk tahun-tahun yang akan datang.”

Mantra itu kerap digunakan oleh penyokong ‘selling clubs.’ Erti frasa tersebut di sini mewakili pasukan-pasukan yang tidak mampu mengekalkan pemain terbaik mereka terlalu lama. Kelab seperti Ajax (Belanda), Borussia Dortmund (Jerman), Leicester City (England) dan mungkin Sevilla atau Real Betis Balompie (Sepanyol) mempunyai model bisnes dimana mereka akan cuba memenuhi potensi pemain muda sebelum dijual dengan harga yang fantastis.

Jadi, frasa tersebut bukanlah semata-mata untuk menyedapkan hati, malah ia menunjukkan penyokong faham benar bagaimana ‘perniagaan’ bola sepak ini dijalankan. Tapi, harus berapa lama untuk penyokong menunggu untuk mendapatkan satu lagi skuad elit?

Jawapan: tiada jawapan yang pasti. Namun jika kelab diselenggara dan diurus dengan baik, tiada istilah panik dalam situasi ini.


Pembinaan Semula

Usai musim 2018/19 tersebut, pejabat Edwin van de Sar dibanjiri faksimili, email serta panggilan dari serata Eropah. Mathijs de Ligt, Frenkie de Jong, Andre Onana, Donny van de Beek serta Joel Veltman adalah nama-nama yang pantas menjadi buruan. Kelab sedar, menjual mereka semua pada satu masa akan mengurangkan kekuatan pasukan secara drastik. Pada masa yang sama, mereka juga sedar bahawa menghentikan mereka dari meninggalkan kelab adalah satu perkara yang mustahil.

Pada waktu itu, penulis menjangkakan Ajax mungkin memerlukan lebih dari empat musim untuk membina semula kelab. Manakan tidak, lihat sajalah gaya permainan Donny van de Beek ketika itu yang tidak gentar akan sesiapa. Mathijs de Ligt di usia 19 tahun menjadi kapten kelab yang mana kematangannya seolah-olah dia sudahpun bermain bolasepak profesional lebih dari 10 tahun. Frenkie de Jong pula kerap memukau penyokong di Johan Cruyff Arena dengan kebijaksanaan dan liuk-lenggok badannya memperdaya lawan. Bolehkah pemain-pemain ini diganti dengan pantas?

Jawapannya, boleh. Dan di sini jugalah kita dapat lihat sama ada kelab itu benar-benar diurus dengan baik atau tidak.


Ramuan separa rahsia

Sengaja saya guna kes kajian Ajax 2018/2019 kerana pada saat ini, saya berpendapat skuad tersebut sudahpun diganti. Ajax menghasilkan semula skuad yang mampu bersaing dengan mana-mana pasukan di Eropah. Ketika artikel ini dihasilkan, mereka sedah terbang tinggi di kejuaraan domestik dan Eropah. Kemenangan empat perlawanan berturut-turut di pentas Champions League adalah rekod kelab dan permainan yang dihasilkan tidak kurang hebatnya.

Apakah rahsia disebalik kitaran semula skuad yang berlaku dengan pantas ini?


Pengurusan yang kompeten

Benar, ten Hag ialah seorang jurulatih yang sedang membina trek rekod gemilang bersama Ajax, tapi beliau bukanlah satu-satunya yang bertanggungjawab keatas kejayaan pasukan. Edwin van der Sar serta Marc Overmars sebagai ‘panglima’ kelab telah melakukan kerja yang cukup untuk dikagumi. Pengurusan yang baik ketika ini tak hanya berkisar kepada staf teknikal yang bertanggungjawab secara langsung di atas padang, malah juga orang-orang yang dipercayai untuk mengurus perkara diluar padang.

Dengan adanya van der Sar dan Overmars, separuh dari beban ten Hag sudahpun hilang. Misalnya ada pemain yang beliau minati, tinggal berbincang dengan pengurusan tertinggi kelab dan selebihnya adalah keputusan kelab. Beliau tidak perlu campur urusan ejen, tempat tinggal pemain dan segala hal remeh-temeh lain dan hanya perlu fokus menajamkan pasukan di atas padang saja. Pengurusan yang kompeten akan menjadi pemudahcara ketua jurulatih sekaligus meningkatkan fokus semua pemain dan pengurus yang akan ‘berperang’ di setiap hari perlawanan.


Jenama bola sepak konsisten di semua peringkat umur

De Toekomst meskipun tidak diberi perhatian khusus oleh media-media dunia kerana hakikatnya Ajax tidak bermain di liga yang ‘besar,’ tetap saja salah satu akademi yang paling konsisten melahirkan bakat-bakat terbaik dunia. Lihat saja skuad sekarang, Per Schuurs, Noussair Mazraoui, Ryan Gravenberch adalah antara pemain tetap yang menjadi sandaran kelab dan kesemuanya adalah graduan akademi Ajax.

Satu perkara yang sudah pasti sekiranya sesebuah kelab itu mempunyai sistem akademi yang baik adalah pasukan utama tidak akan putus bekalan pemain. Sekiranya bintang utama seperti Dusan Tadic, Sebastian Haller atau Daley Blind cedera, tiada istilah panik di kelab tersebut kerana kemungkinan besar yang menggantikan mereka nanti tahu benar akan cara bolasepak dimainkan di kelab tersebut. Di sini, tugas ten Hag akan menjadi lebih mudah dan tidak perlu banyak masa untuk mengajar semula pemain-pemain ini untuk bermain dalam sistem kelab.


Pakar dalam bursa perpindahan

Siapa sangka, Sebastian Haller yang gagal menyesuaikan diri di West Ham itu sedang berada di puncak kariernya bersama Ajax? Ketika Haller dibeli, ia mencipta satu kejutan kerana Haller bukanlah pemain yang kita jangkakan mampu bermain dalam sistem Ajax. Tapi sekarang, beliau adalah penjaring terbanyak Champions League bersama Ajax.

Begitu juga dengan Dusan Tadic. Ketika Ajax datang untuk membeli beliau dari Southampton, kelab Inggeris tersebut tidak teragak-agak untuk melepaskannya. Malah media di England juga menyifatkan bahawa beliau bukan pemain yang tepat untuk menyinar di Premier League. Namun sebaliknya yang berlaku. Beberapa bulan selepas itu, Tadic mempersembahkan seni bola sepak tertinggi di Santiago Bernabeu dan selepas dilantik kapten kelab dek kerana sifat kepimpinan tinggi beliau.

Ingat, kepakaran dalam bursa perpindahan bukanlah bererti mampu menyudahkan pembelian bernilai puluhan juta Euro, tetapi konsistensi dalam mencari profil yang tepat untuk menguatkan skuad utama kelab.



Rumusan

Ada beberapa lagi perkara yang boleh kita lihat untuk sesebuah kelab itu mempercepatkan kitaran skuad elit mereka. Namun ketiga-tiga elemen di atas adalah asas yang paling kukuh untuk perkara itu berlaku. Yang jelas, terlalu banyak kelab ‘besar’ di Eropah masih terkial-kial untuk menjalankan perkara-perkara asas seperti ini. Sudah tiba masanya untuk penyokong faham mengenai selok-belok kelab yang disokong dan menuntut kelab untuk diurus dengan lebih efisyen supaya ekosistem dan keseimbangan skuad tetap terpelihara.