Peninju profesional negara, Meeraj Khan, menghubungi saya beberapa hari lalu memaklumkan dia terbabit dengan kemalangan.

Kecederaan ringan dan masih berharap dapat mewakili negara ke Sukan SEA Filipina jika Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meluluskan penyertaan sambo.

"Nasib malang minggu ini. Saya kemalangan ketika dalam perjalanan untuk menghadiri Jawatankuasa Disiplin MSA (Persatuan Sambo Malaysia).

"Selepas kemalangan, saya terpaksa dibawa ke hospital. Jadi, mesyuarat dipindahkan ke hospital. Apa yang mengecewakan, sudahlah saya sakit, kena gantung pula," kata Meeraj yang juga atlet sambo negara.

MSA tidak menetapkan tempoh penggantungan tetapi menetapkan syarat - Meeraj perlu mohon maaf secara terbuka kepada Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Puncanya?

Dua minggu lalu, Meeraj mengkritik MOM kerana lewat meluluskan permohonan MSA menyertai Sukan SEA Filipina.

Realitinya, nasib beberapa sukan kategori B atau B2 (menanggung sendiri kos penyertaan) akan ditentukan pada 26 September ini.

Mungkin kerana didorong darah panas peninju profesional, Meeraj gagal mengawal emosi.

Tetapi apa yang menarik, kecederaan ini tidak memutuskan semangat Meeraj.

"Saya pernah menang pingat gangsa Sukan SEA 2013 dalam tinju. Tapi kali ini, saya mahu menghadiahkan emas dalam sambo.

"Saya akan hantar rayuan kepada MSA. Moga rayuan saya dipertimbangkan dan sambo dapat menyertai Sukan Sea Filipina," kata Meeraj.

Saya kagum dengan semangatnya.

Sudahlah digantung, ditimpa kemalangan. Akhirnya menebalkan muka semata-mata mahu mewakili negara.

Moga emas milik anda!