2017 menyaksikan kali keenam Malaysia menjadi tuan rumah kepada temasya sukan dwitahunan rantau Asia Tenggara iaitu Sukan SEA.

Kali terakhir Kuala Lumpur diberi penghormatan berkenaan ialah 16 tahun lalu pada edisi 2001 dengan Malaysia menamatkan saingan selaku juara keseluruhan menerusi kutipan 111 pingat emas.

Berdasarkan persiapan yang cukup rapi bagi edisi kali ini, kontinjen negara sekali lagi meletakkan sasaran yang sama sekaligus menepati matlamat "Kita Juara" yang menjadi mantra buat setiap atlet.

Seperti yang diperkatakan oleh rakan setugas, Adam Zamri dalam penulisannya sebelum ini, temasya Sukan SEA kali ini menghimpunkan atlet yang merupakan juara dunia dalam acara masing-masing.

Bayangkan tuan rumah, Malaysia sahaja sudah mempunyai lima juara dunia iaitu Azizulhasni Awang (Basikal Trek - Keirin), Cheong Jun Hoong (Terjun), Al Jufferi Jamari (Silat) serta dua daripada sukan olahraga para iaitu Ziyad Zolkefli dan Latif Romly.

Selain aksi mereka, penulis juga tidak sabar untuk melibat kelibat dua pemenang pingat emas temasya Olimpik Rio 2016 iaitu Hoang Xuanvinh (Menembak - Vietnam) dan Joseph Schooling (Renang - Singapura)

Penulis berkesempatan menemui Xuanvinh pada Kejohanan Menembak Asia Tenggara, Mei lalu dan beliau jelaskan matlamatnya tetap sama tanpa mengira apa jua pertandingan iaitu ingin menjadi yang terbaik.

Manakala Joseph mengetuai skuad renang Singapura yang meraih 23 pingat emas pada edisi 2015 dan sekali lagi menjadikan negara jiran itu pilihan awal bagi sukan berkenaan.

Kehadiran mereka ini dapat membantu tingkatkan lagi persaingan di kalangan atlet lain yang sudah pasti memasang impian bagi cipta kejutan untuk tewaskan mereka.

Kisah serupa sudah tentu berlaku buat wakil negara khususnya buat lima juara dunia yang disebutkan tadi dan mereka juga perlu waspada dengan prestasi masing-masing agar impian raih emas buat Malaysia terlaksana.

Kepada peminat sukan, terus memberikan sokongan kepada kontinjen negara untuk menjadikan temasya Sukan SEA kali ini sebagai antara yang terbaik sama ada dari segi penganjuran mahupun pencapaian.

Ayuh #BangkitBersama!