Sejak menjulang trofi Piala Dunia di Rusia bersama Perancis, Kylian Mbappe meneruskan kecemerlangannya mengharungi kempen musim lalu bersama PSG.

Jumlah 39 jaringan dan 17 bantuan gol dihasilkan menerusi 43 perlawanan kompetitif musim 2018-2019 sekali gus mengesahkan statusnya sebagai salah seorang pemain muda terhebat dunia.

Tetapi, musim ini menyaksikan kelibat pemain berusia 20 tahun itu menghabiskan lebih banyak masa menjadi penonton disebabkan kecederaan hamstring yang dialami.

Dia terlepas lima daripada 10 perlawanan Ligue 1 manakala di pentas Liga Juara-Juara Eropah, dia terlepas perlawanan pembukaan di mana PSG menundukkan gergasi Sepanyol, Real Madrid, 3-0 di Parc des Princes.

Bagaimanapun, ketika peminat di Paris mengharapkan Mbappe bukan 'Neymar kedua' disebabkan rentetan masalah kecederaan yang dialami penggempur Brazil itu sebelum ini, dia pantas membuktikan statusnya sebagai wira sebenar Les Parisiens.

Selepas menjaringkan satu gol serta satu bantuan jaringan ketika kembali memperkuatkan barisan kendalian Thomas Tuchel dalam kemenangan 4-1 ke atas Nice hujung minggu lalu, Mbappe sekali lagi menyerlahkan ketajamannya di depan gawang.

Selasa lalu, dalam tempoh 22 minit, pemenang Anugerah Golden Boy 2017 itu meledak hatrik ketika berdepan Club Brugge di Stadium Jan Breydel.

Malah, dia turut membantu penyerang pinjaman daripada Inter Milan, Mauro Icardi, menyumbat gol ketiga pasukan, menguatkan lagi realiti bahawa PSG mungkin perlukan kelincahan Neymar tetapi Tuchel sangat mendambakan kehebatan Mbappe dalam barisan bimbingannya.

Jelas sekali tanpa Neymar, PSG tetap mampu melakar kemenangan bergaya tetapi apa yang menjadi persoalan, adakah Mbappe benar-benar sudah bersedia untuk menamatkan penantian trofi Liga Juara-Juara Eropah buat gergasi Ligue 1 itu?