Kylian Mbappé telah mempertontonkan mengapa dia adalah pemain muda yang paling mengujakan ramai ketika ini.

Pemain berusia 19 tahun itu meledak empat gol dalam tempoh hanya 13 minit sambil Paris Saint-Germain (PSG) memperbudakkan Olympique Lyonnais dalam perlawanan Ligue 1, awal pagi semalam.

Gol ketiga Mbappe dalam kemenangan 5-0 itu adalah yang terbaik sebagai menyudahkan larian derasnya, penyudahan tajamnya dan permainan bola sepak dengan larian ke segenap ruang padang yang bermirip kepada permainan “pinball”.

Tidak hairanlah rakan sepasukan, Neymar Jr, menggelarnya satu fenomena.
“Bagi saya, dia satu fenomena. Saya harap dia dapat meneruskannya untuk tahun-tahun yang akan datang kerana bola sepak pasti akan berterima kasih kepadanya,” cetusnya.

Mbappé belum pun mencecah usia 20 tahun tapi dia sudah pun bergelar seorang pemenang pingat juara Piala Dunia di samping status selaku salah seorang atlet paling bernilai dalam sukan berkenaan.

Dalam perlawanan dengan Lyon itu, pemain atarabangsa Perancis berkenaan menggegar jaring buat kali pertama selepas 61 minit ketika PSG sedang mendahului 1-0.

Dia mengutip bola dalam petak penalti Lyon, melakukan satu sentuhan untuk mengawalnya dan meledakkan rembatan kaki kiri yang melantun daripada kedua-dua tiang sebelum menerjah jaring.

Hanya empat minit diperlukannya untuk gol keduanya apabila dia memperagakan naluri pemangsanya dengan menyudahkan satu hantaran lintang ke depan gol.

Gol ketiganya pada minit ke-69 adalah yang tercantik. Dia berlari pantas terhadap satu hantaran lolos daripada Neymar dan menyungkit lembut melepasi jangkauan penjaga gol Lyon, Anthony Lopes, dari jarak 18 ela.

Seterusnya, Mbappé menghukum Lyon buat kali terakhir selepas 74 minit permainan dengan memanfaatkan satu kekeliruan di dalam petak penalti lawan ketika PSG menghujaninya dengan percubaan demi percubaan.

Ia sekali gus mengangkatnya selaku pemain termuda yang menyumbat empat gol dalam satu perlawanan Ligue 1 sepanjang 45 musim lalu.

Keseluruhannya, dia telah mencetak lapan gol dan tiga bantuan jaringan daripada hanya lima penampilan dalam Ligue 1 musim ini yang membantu PSG melonjak ke mercu liga dengan sembilan kemenangan berturut-turut.

Harus sesuatu memberitahu kita semua bahawa ia bukan satu-satunya rekod yang akan lebur di kakinya.