10 hari melihat sendiri keupayaan mereka dan semangat kejar emas untuk negara membuatkan aku terkedu.

Bagaimana seorang buta mampu memecut pantas dalam larian, seorang yang hanya miliki sebelah kaki mampu melakukan lompat tinggi malah mereka mampu bermain bola dalam keadaan yang tidak sempurna memberikan pengajaran yang tidak boleh dibeli oleh sesiapa.

" Macam mana kamu boleh berlari dalam keadaan kamu tidak nampak sepenuhnya?"
" Berpandukan garisan putih di trek, hanya itu yang membantu saya, dan itulah emas untuk Malaysia." Itu reaksi penyumbang 3 emas negara untuk acara trek, Felicia Mihat yang berusia 16 tahun.
Atlit yang berasal dari Sabah ini juga sudah mula susun atur gerak kariernya yang mahu membantu keluarga dengan kelebihan yang dimilikinya ini.


" Wan ... nak ... bawa mak ayah .... pegi Mekah ...... " itu yang dibalas Ridzuan Puzi apabila di tanya apa yang mahu dilakukan dengan insentif RM30 ribu ringgit yang bakal di terima menerusi 2 emas yang di sumbangkan untuk negara.
Siapa tidak kenal Ridzuan, juara dunia di Kejohanan Olahraga Para Dunia Doha Qatar baru-baru ini menjadi ikon dan perhatian dalam Sukan Para Asean kali ini.
Dia tidak mampu untuk berkata-kata dengan jelas tetapi semangat Ridzuan untuk membawa nama negara ke mata dunia begitu JELAS !


Merujuk ketua jurulatih olahraga negara, R. Jeganathan bagaimana dia mengendali atlit istimewa ini dia menegaskan, cara yang diguna pakai tiada beza dengan atlit normal kerana dengan cara itu mampu membuatkan mereka mampu pergi jauh.
" Saya tampar muka Ridzuan apabila dia rasa kerdil untuk bersaing di Kejohanan Dunia baru-baru ini. Lihat dia bawa pulang gelaran dunia untuk kita semua ... " tegas Jeganathan.


Air mata aku bergenang lagi menyaksikan kejayaan pasukan bola sepak 5 sebelah negara sumbang emas dengan mengatasi pasukan pilihan Thailand.
Dalam situasi kabur dan rabun, serta tiada upaya anggota badan, kegembiraan mereka terserlah dengan cara mereka sendiri.
Berpelukan, terhantuk kepala masing-masing dan ada yang ceria dengan cara tersendiri membawa satu maksud - air mata gembira untuk MALAYSIA.
Perbandingan mula di congak dalam fikiran aku, semangat seperti ini kadang-kadang tiada dalam diri atlit yang normal.
Malah kalau boleh disukat semangat itu, aku tahu siapa pemenangnya.
Mereka benar-benar luar biasa.