Andrey Rublev akhirnya dapat mengatasi rakan senegaranya, Danill Medvedev, selepas insiden terlanggar kamera di pinggir gelanggang dalam Kejohanan Tenis Masters Cincinnati hari ini.

Dengan kemenangan itu, Rublev akan berdepan Alexander Zverev dalam penentuan kejuaraan selepas memusnahkan impian Medvedev untuk meraih kejuaraan berganda di Toronto dan Cincinnati.

Sebelum ini, Medvedev tidak pernah melepaskan sebarang set ketika menentang seorang lagi permain Russia, Rublev, dalam empat pertemuan terakhir Jelajah ATP dan kelihatan amat dominan sewaktu memenangi set pertama.

Bagaimanapun, pemain nombor dua dunia itu berlanggar dengan kamera pada awal set kedua dan kehilangan momentum sejak insiden itu.

Medvedev mempertikaikan kedudukan kamera berkenaan dan mendakwa ia telah mencederakan tangannya dan kelihatan cuba menendang lensa kamera itu.

Sejurus itu, dia mendapatkan rawatan tetapi prestasinya kian merosot sehingga membolehkan Rublev merampas set kedua.

Siri unforced error yang dilakukan Medvedev sekali lagi membenarkan kebangkitan Rublev untuk mara ke final dengan kemenangan 2-6, 6-3, 6-3.

Zverev pula ke final selepas menewaskan Stefanos Tsitsipas 6-4, 3-6, 7-6 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.