Wayne Rooney, nama yang tidak asing lagi bagi peminat bola sepak dunia, baru-baru ini mengumumkan bahawa beliau akan bersara dari pentas antarabangsa pada tahun 2018.

Pemain yang memulakan kariernya di Everton, dan mula mencipta nama di kelab Manchester United merupakan penyerang yang pernah digeruni oleh pelbagai kelab dan negara.

Selain menjadi kapten kepada kelabnya, beliau juga masih kapten pasukan England, di bawah kendalian pengurus baru Sam Allardyce.

Pelbagai isu dan desas desus timbul sama ada Rooney masih akan menjadi kapten kepada Three Lions atau tidak dibawah pengurusan Allardyce kerana persembahan beliau di peringkat antarabangsa dilihat belum lagi menyerlah.

Ramai juga peminat bola sepak mula meragui adakah Rooney sudah hilang bisanya sejak kebelakangan ini, samada di peringkat kelab mahupun antarabangsa.

Walaupun beliau berjaya memecahkan rekod penjaring terbanyak dalam sejarah bola sepak England, iaitu 53 gol, memecahkan rekod yang dipegang Bobby Charlton sebelum ini (49 gol) dan juga sudah bermain sebanyak 115 kali, dan boleh memecahkan rekod sebagai pemain paling banyak bermain untuk England yang kini dipegang oleh Peter Shilton(125 caps), namun statistik beliau bermain di pertandingan bertaraf antarabangsa kurang memberangsangkan.

Rooney bermula cemerlang di Euro 2004 di bawah kendalian Sven Goran Eriksson, menjaringkan empat gol namun semuanya berubah semenjak kecederan beliau sewaktu menentang Portugal.

Rooney bermain sebanyak 17 lagi perlawanan, termasuk di Piala Dunia, dan hanya memenangi lima perlawanan dari 17 perlawanan tersebut dengan hanya menjaringkan tiga gol.

Kini mencecah usia 30 tahun, posisi Rooney bukanlah lagi sentiasa berada di hadapan memburu gol. Rooney kini sering bermain sama ada di posisi sayap kiri, dan di bawah kendalian Louis Van Gaal, dia juga bermain di bahagian tengah, begitu juga di bawah Roy Hodgson.

Namun semenjak kehadiran Mourinho di Manchester United, Rooney kini bermain di posisi No 10, di belakang Zlatan Ibrahimovic dan Allardyce juga menyatakan hasrat untuk menggunakan Rooney di posisi yang sama.

Di posisi tersebut, Rooney musim ini sudah menjaringkan 1 gol dan beberapa assist dan Allardyce berharap Rooney akan bersinar juga di posisi tersebut bersama England.

Walau dimana pun posisi Wayne Rooney bermain, penyokong England pasti berharap pemain ini akan dapat menemui sentuhan berbisa di peringkat antarabangsa dan memberi kemenangan berterusan kepada England yang sudah lama tidak menyerlah di pertandingan besar di peringkat antarabangsa.