Hari ini bermulanya Liga Hoki Dunia 3 di London England bagi Kumpulan B, iaitu Belanda, India, Pakistan, Kanada dan Scotland. Bagi pasukan hoki negara pula pada 16 Jun, iaitu hari kedua kejohanan.

Pasukan hoki lelaki negara telah berlepas ke London pada 7 Jun yang lalu. Mereka berlepas seminggu awal untuk menyesuaikan diri dengan cuaca, perbezaan masa, keadaan sekeliling, terutama permukaan padang permainan di Pusat Hoki dan Tennis Lee Valley, Olympic Park, London.

Selain menjalani latihan di venue kejohanan, pasukan negara juga telah mengatur tiga perlawanan persahabatan pemanas badan untuk pemain-pemain merasai bermain di atas permukaan padang dalam situasi perlawanan sebenar.

Tiga perlawanan persahabatan itu adalah menentang pasukan pembangunan England, Wales dan juga pasukan yang menghuni Kumpulan B di London, iaitu Kanada.

Mereka mencatatkan kemenangan di dalam ketiga-tiga perlawanan persahabatan pemanas badan ini dengan menewaskan pasukan pembangunan England 4-2, Wales 4-1 dan Kanada 2-1.

Kemenangan ini, walaupun bukan perlawanan sebenar, tetap penting buat pemain-pemain dalam membina keyakinan pasukan apabila bermulanya perlawanan pertama Liga Hoki Dunia 3 nanti.

Apa yang menarik apabila melihat statistik jaringan di mana jaringan-jaringan daripada situasi pukulan sudut penalti dalam setiap perlawanan serta gol padang dalam dua perlawanan pertama berjaya dihasilkan.

Razie Rahim, pakar pukulan sudut penalti negara, telah mendapat semula sentuhan yang dicari-cari ketika Piala Sultan Azlan Shah bulan lalu.

Dia berjaya menjaringkan gol dalam setiap perlawanan. Begitu juga Najmie Farizal dan Shahril Saabah yang juga mencatat nama mereka sebagai penjaring menerusi pukulan sudut penalti.

Teruja juga apabila melihat Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil berjaya menjaringkan dua gol padang serta Haziq Shamsol dan Nabil Fiqri masing-masing menjaringkan satu gol padang.

Dalam Piala Sultan Azlan Shah lalu juga, Tengku Ahmad Tajuddin dilihat ketandusan jaringan walaupun dia antara pemain paling berpengalaman di bahagian serangan.

Kerisauan penyudahan pukulan sudut penalti dalam Piala Sultan Azlan Shah pasti kini memberikan kelegaan kepada kepada Stephen Van Huizen dan kem Malaysia.

Malaysia akan turun menentang Argentina, pasukan di ranking pertama dunia, Jumaat ini, diikuti oleh England, Korea Selatan dan China dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A.

Untuk layak ke Piala Dunia 2018, pasukan negara hanya perlu layak ke peringkat suku akhir, iaitu sekurang kurangnya berada di tempat keempat dalam Kumpulan A.

Di atas kertas, kita membayangkan China adalah sasaran utama untuk meraih tiga mata untuk berada di sana tetapi saya mempunyai pandangan yang berbeza, iaitu pasukan negara jangan menunggu sehingga perlawanan keempat tetapi harus cuba mencuri mata bermula dengan perlawanan pertama menentang Argentina.

Jika kita berupaya mengumpulkan mata terlebih awal, ini akan mengurangkan tekanan kepada pemain-pemain kita apabila bertemu China nanti.

Ia juga mungkin akan meletakkan Malaysia di tangga yang lebih baik, sekaligus menemukan lawan yang sedikit lebih mudah berbanding jikalau kita akan bertemu Belanda yang dilihat akan menjuarai Kumpulan B nanti.

Diberitakan juga tiada pemain pemain yang dilanda kecederaan serta semuanya berada di dalam kondisi yang terbaik ketika ini.

Ini petanda yang mereka kini berada di landasan yang terbaik untuk memulakan cabaran esok dalam misi layak ke Piala Dunia 2018.

Kepada Mohammad Sukri Mutalib dan rakan-rakan sepasukannya, berjuanglah habis-habisan. Kami rakyat Malaysia hanya mampu mendoakan agar pasukan hoki negara berjaya layak ke Piala Dunia nanti!