Apabila tewas di tangan Young Boys pada perlawanan pertama Kumpulan F Liga Juara-juara Eropah (UCL) ia telah mengundang pelbagai persepsi yang timbul di kalangan peminat bola sepak tentang kemampuan pasukann kendalian Ole Gunnar Solskjaer di peringkat Eropah ini.

Namun pada pandangan penulis itu bukan pengukurnya untuk melihat prestasi Man United kerana itu baru perlawanan pertama Kumpulan F dan masih lagi ada masa untuk Solskjaer memperbaiki kelemahan selain memberi peluang kepada pemain-pemain yang tidak bermain di Liga Perdana Inggeris.

Pertemuan menentang West Ham United adalah peluang terbaik Solskjaer untuk memperbaiki kelemahan Man United selain membina kembali keyakinan pemain-pemain Man United. Perlawanan ini begitu penting untuk Man United menambah 3 mata lagi sekiranya ingin terus mendominasi carta liga.Inilah masanya pengaruh dan aura yang ada pada Cristiano Ronaldo untuk digunakan sebaiknya oleh Solskjaer untuk mempengaruhi minda pemain-pemain Man United sebagaimana Ronaldo buktikan ketika perlawanan akhir Piala Eropah 2016 ketika bertemu Perancis setelah Ronaldo dikeluarkan akibat mengalami kecederaan namun Ronaldo memberikan kata-kata semangat di tepi padang dan akhirnya Portugal menjadi juara.

Walaupun mengikut rekod pertemuan di antara West Ham dan Man United memang memihak pada “The Red Devils” itu tetapi itu bukan jalan mudah untuk mencipta kemenangan. Sudah tentu pengendali West Ham, David Moyes akan menyedia ramuan terbaik untuk anak didiknya bagi memastikan tidak berputih mata di laman mereka sendiri. West Ham juga berada pada prestasi terbaik mereka kerana masih lagi tidak mengalami kekalahan dari 4 perlawanan yang mereka lalui setakat ini. Faktor itu juga tiada sebab untuk West Ham memberi laluan mudah pada Man United sebaliknya perlu terus menekan dari awal permainan, apatah lagi selepas membenam Dinamo Zagreb di saingan Liga Eropah.

Dengan tonik tambahan selepas kemenangan itu juga akan membuatkan pemain-pemain West Ham berada pada tahap keyakinan yang tinggi. Ia akan memberi kesukaran kepada anak didik Solskajer sekiranya bahagian midfield mereka masih lagi tidak dapat diselesaikan dengan segera terutama dalam aspek keserasian dan konsentrasi. Namun itu bukan masalah utama pada Man United kerana apabila bermain dalam saingan Liga Perdana mereka ibarat harimau yang lapar sedang menunggu mangsanya dan segala kelemahan akan hilang serta merta.