Syabas kepada Astro Shaw, pengarah dan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan filem ini.

Secara jujurnya filem ini berjaya menyebabkan mata saya bergenang dengan air mata. Selalunya bila saya menonton filem hindustan saja saya jadi sebak.

Selain daripada jalan cerita yang mudah dan berkaitan pasukan bolasepak negara pada tahun 1980 yang berjaya layak ke Sukan Olimpik Moscow, filem ini juga menonjolkan etnik berbilang kaum, terutamanya daripada masyarakat Cina yang begitu aktif terlibat dalam sukan bolasepak. Hidup bersama, tidak kekok antara satu sama lain, mencerminkan antara faktor kekuatan pasukan bolasepak negara dan kepada pasukan-pasukan negara amnya.

Intipati yang pelbagai seperti babak-babak jenaka yang mencuit hati, serius dan sedih berjaya menarik perhatian saya mengikuti jalan cerita daripada mula sampai habis.

Saya begitu tersentuh melihat bagaimana pemain-pemain pasukan lagenda ini berkorban walaupun dengan serba kekurangan berbanding dengan pemain pemain sekarang. Saya begitu menghayati kerana saya merasakan saya pernah mengharungi suasana ini ketika berkorban dalam misi ke Sukan Olimpik 1992, 1996 dan 2000.

Nilai-nilai yang positif yang diselitkan di dalam filem amat sesuai ditonton pelbagai peringkat umur dan juga sesuai buat seluruh keluarga.

Harapan saya kepada atlet-atlet negara pergilah menonton dan dalam masa yang saya dapatkan aura dari filem ini dan jadikan sebagai pembakar semangat dalam mengembalikan maruah negara di persada antarabangsa.