Bermula daripada orang lama, Mohd Zaki Shaikh Ahmad, kemudian disusuli Ismail Ibrahim, K. Gunalan, Abdul Rahman Ibrahim, Wan Jamak Wan Hassan, E. Elavarasan dan kini Sven Gartung, PKNS FC tidak pernah ketandusan memilih jurulatih berprofil tinggi biarpun keputusan di atas padang tidaklah begitu memberangsangkan.

Terbaru, terdapat laporan media tempatan yang mengatakan bahawa bekas pengendali kelab paling berjaya di Malaysia, Mario Gomez, berada dalam radar PKNS FC untuk saingan musim hadapan.

Berita ini mengejutkan ramai pihak, namun ianya bukanlah mustahil memandangkan PKNS merupakan salah sebuah pasukan yang tidak pernah mempunyai masalah kewangan sejak ditubuhkan kerana mempunyai dana kewangan yang kukuh selain bijak melakukan pelaburan.

Gomez, yang meninggalkan JDT pada musim lalu, kini masih tidak membimbing mana-mana pasukan biarpun mendapat tawaran dari banyak pihak.

Untuk rekod, Gomez merupakan satu-satunya jurulatih yang berjaya membawa kelab bola sepak di Malaysia mencapai tahap tertinggi iaitu juara Piala AFC bersama JDT.

Namun atas faktor dalaman yang tidak didedahkan, jodohnya bersama JDT tidak berpanjangan.

Pun begitu, Gomez tanpa berselindung mengakui bahawa beliau amat menyukai cabaran dan suasana Liga Malaysia yang disifatkan amat kompetitif.

PKNS, yang menyedari perkara itu, segera mengambil langkah proaktif untuk menyenaraipendek nama Gomez dalam senarai calon jurulatih baru mereka.

Cuma, ianya belum dimuktamadkan di atas kertas kerana masih diperingkat perbincangan sahaja.

Andai benar Gomez akan kembali, ianya pasti akan kembali menambah kehangatan saingan Liga Super Malaysia memandangkan Gomez bukanlah calang-calang jurulatih.

Beliau turut disenaraipendek sebagai jurulatih skuad kebangsaan suatu ketika dahulu, namun ianya tidak menjadi kenyataan.