Teka-teki mengenai venue perlawanan Malaysia menentang Korea Utara bagi kempen Kelayakan Piala Asia 2019 akhirnya terjawab apabila Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memutuskan kedua-dua perlawanan dilangsungkan di Thailand pada 10 dan 13 November ini.

Korea Utara menjadi tuan rumah pada 10 November untuk perlawanan pertama manakala tiga hari kemudian Malaysia menjadi tuan rumah untuk perlawanan kedua, bagaimanapun, venue dan masa perlawanan masih belum dipastikan lagi.

Apa pun, ia satu keputusan tepat daripada badan induk itu selepas perlawanan tersebut ditunda tiga kali susulan masalah keselamatan di mana perlawanan pertama sepatutnya berlangsung di Pyongyang, Mac lalu.

Pemilihan gelanggang berkecuali boleh dianggap satu kemenangan moral buat Malaysia selepas AFC menolak cadangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk beraksi di luar Korea Utara sebelum ini.

Malah, Korea Utara turut tidak berganjak daripada keputusan untuk mengadakan perlawanan di Pyongyang dengan menawarkan jaminan tahap keselamatan buat Malaysia.

Venue di Thailand tampak strategik buat kedua-dua pasukan dan pastinya melegakan kem skuad negara memandangkan jika mereka bermain di Korea Utara, faktor cuaca akan menjadi penghalang dan ia turut menjimatkan masa perjalanan.

Penulis secara peribadi berasakan kelebihan sedikit memihak skuad Harimau Malaya, jadi sayang jika peluang itu tidak dimanfaat sebaik mungkin. Bermain tanpa memikirkan soal keselataman dan tekanan daripada penyokong sendiri sudah pasti boleh membantu anak buah Nelo Vingada bangkit daripada siri kekalahan.

Ketiadaan tonggak utama seperti kapten Safiq Rahim dan Aidil Zafuan Abdul Radzak yang digantung perlawanan bukan lah masalah besar kerana penulis percaya pemain sedia ada mampu menggalas tugas dengan lebih baik dalam usaha menghadiahkan kemenangan sulung buat jurulatih dari Portugal itu.

Kini, Vingada harus bijak mengatur strategi untuk membawa pemain mana yang mampu beraksi dalam dua aksi berturut-turut berdepan lawan sama itu kerana beliau mungkin bakal berdepan faktor kecederaan selepas aksi pertama nanti.

Justeru, pemilihan pemain mengikut posisi perlu dibuat dengan tepat dan Vingada harus membariskan jumlah penyerang yang mencukupi bagi mengelak masalah sama berulang apabila skuad negara hanya mempunyai seorang penyerang iaitu Darren Lok itupun cedera ketika bertemu Hong Kong tempoh hari sehinggakan terpaksa menggunakan taktikal 4-6-0.

Jadi, pemain negara harus manfaat aksi di Bangkok dan buktikan masih ada sinar di hujung terowong buat bola sepak negara.