Musim 2021-2022 merupakan masa yang terbaik untuk Manchester United merampas kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) kerana pemain-pemainnya berada dalam prestasi terbaik.

Walaupun kancah EPL baru menyingkap tirainya, anak-anak didik Ole Gunnar Solskjaer itu membuktikan bahawa mereka bersedia untuk merampas kembali kejuaraan selepas kali terakhir Man United menjuarainya pada 2012-2013.





Ini boleh dilihat daripada segi persembahan pertama The Red Devils di Old Trafford yang mampu memberi keyakinan yang luar biasa kepada peminat-peminat mereka apabila berjaya menewaskan Leeds United dengan jumlah jaringan yang besar 5-1.

Ia menunjukkan bahawa Man United tidak gentar dan bersedia menghadapi musuh-musuh ketat mereka seperti Liverpool, Manchester City dan Chelsea.

Keyakinan semakin meningkat menerusi persefahaman dan komunikasi yang baik selain kombinasi yang begitu mantap di setiap bahagian.

Peranan yang dijanakan pemain-pemain tengah Man United seperti Scott McTominay, Fred, Paul Pogba yang berjaya memdominasi permainan dengan baik serta bijak dalam menyusun atur gerakan dan hantaran.




Tetapi pada kali ini penulis tertarik dengan kelibat Pogba kerana pemain tengah dari Perancis itu mengingatkan penulis prestasinya ketika bermain untuk Juventus.

Musim ini Solksjaer bijak meletakkan Pogba di posisi nombor 11 yang menyaksikan Pogba lebih cenderung bergerak di sebelah kiri serta bebas untuk melakukan gerakan.



Ini telah menonjolkan kreativiti dan karakter sebenar Pogba dalam perlawanan semalam dengan empat umpanan yang membawa kepada jaringan.

Selain itu, pemain yang dalam tahun terakhir kontrak tersebut telah menunjukkan persefahaman yang begitu tinggi dengan rakan-rakannya di bahagian serangan apabila mempamerkan kombinasi yang begitu cemerlang di samping Bruno Fernandez khususnya.

Saat inilah yang dinanti-nantikan peminat-peminat Man United yang hadir di Old Trafford yang mengidam paparan sebenar Man United selepas setahun kempunan ke Theater of Dream akibat kekangan COVID-19.