Di mana kedudukan Manchester City ketika rata-rata 19 pesaing yang lain sudah mengharungi 11 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL)?

Tiga kekalahan dan dua seri dicatatkan sedangkan saingan liga yang dilalui masih mentah dengan 10 perlawanan.

Pep Guardiola bagaikan tidak pernah belajar daripada kesilapannya sebelumnya, iaitu gagal menampung masalah kecederaan di bahagian pertahanan tengah biarpun diperkasakan dengan kelibat muka baru, Nathan Ake dan Ruben Dias, untuk sekadar di tangga ketujuh.

"Saya melihat ketibaan Ruben Dias dan ia merupakan risiko besar," kata legenda Liverpool, Jamie Carragher -- selaku pemerhati tersohor di The Telegraph -- mengenai pemain termahal bernilai £65 juta (RM381.1j) kelab berkenaan.

“Saya tidak rasa dia akan menjadi kejayaan besar, saya tidak rasa Manchester City mampu memenangi liga."






Malah, The Cityzens dibelasah Leicester City 2-5 dalam perlawanan kedua selain dalam keperluan mengimbangi kempen Liga Juara-Juara Eropah.

Kekalahan 0-2 kepada Tottenham pada November lalu meletakkan status City seperti tiada harapan untuk merampas kejuaraan daripada Liverpool.

Tetapi sejak itu -- dalam masa sama menjamin tempat ke pusingan kalah mati Eropah -- mereka tidak menoleh ke belakang lagi untuk menutup tempoh bulan perayaan Krismas tanpa kekalahan sebelum meneruskannya rekod 100 peratus sepanjang Januari.

Namun, ia bukan satu situasi mudah buat pengurus dari Sepanyol itu yang perlu mencaturkan taktikal ampuh kerana perlu mengharungi tiga kejohanan berbeza termasuk Piala Liga Inggeris (EFL) dan Piala FA berikutan penularan COVID-19 sepanjang tempoh itu hingga Mac lalu.

Apatah lagi pangkalan latihan mereka teruk dilanda pandemik itu hingga memaksa khidmat Sergio Aguero and Gabriel Jesus dilupakan hingga Februari.

Segala kejerihan itu bagaimanapun sama sekali tidak menggugat mereka dalam mengorak langkah menjayakan segala misi dengan merekodkan 21 perlawanan tanpa kalah.

Dalam tempoh itu atau lebih tepat lagi perlawanan ke-19, mereka mula mengorak langkah mendominasi puncak EPL.

Yang membezakan mereka dengan naib juara yang merupakan musuh berjiran, Manchester United, ialah kemenangan iaitu sebanyak 27 kali berbanding lawan, 21.

Kunci kejayaan mereka sudah tentulah mentaliti yang diterapkan Guardiola, keinginan tinggi dalam tuntutan kejayaan.

"Setiap gelaran adalah pencapaian yang manis.

"Kali ini berbeza kerana diselubungi pandemik dan masalah ia dilalui semua orang.

"Inilah yang menjadikannya istimewa," petikan ulasan Guardiola dalam Dailymail pagi tadi.

Menurunkan barisan kedua atau ketiga sekalipun, mereka punya tanggungjawab untuk berjaya sambil tidak mengorbankan elemen menghiburkan penonton dan ia terjawab dengan kejayaan ketiga liga dalam tempoh empat musim.