Jika ada bintang yang menyerlah dalam pasukan Manchester United, ia sepatutnya terjadi kepada bekas pemain The Red Devils, Angel Di Maria.

Namun, di bawah kendalian Louis Van Gaal sebelum ini, beliau tidak mendapat rentak terbaik bagi menyerlahkan bakat sebenar.

Di Maria mencipta rekod pemain nilai tertinggi di England pada tahun 2014 dengan bayaran GBP59.7 juta, namun setahun selepas beraksi di Old Trafford dengan sumbangan empat gol dalam 32 permainan, Di Maria dijual kepada PSG dengan nilai GBP44.3 juta.

Perkara itu mendapat cemuhan daripada penyokong-penyokong United yang mengharapkan sumbangan luar biasa daripada beliau. Namun, Di Maria mempunyai alasannya tersendiri.

Sebagai pemain bolasepak, faktor untuk beraksi dengan baik tidak hanya terletak kepada pemainnya.
Di bawah kendalian Van Gaal, beliau diletakkan di pelbagai posisi demi mencari kesesuaian dengan kebolehan beliau. Disitu membuktikan Van Gaal tidak begitu memahami corak permainan dan kepandaian Di Maria.

Baru-baru ini ketika Di Maria kembali ke Old Trafford bagi aksi Liga Juara-Juara Eropah di antara Paris Saint Germain (PSG) dan United, beliau telah memberi satu tamparan hebat buat penyokong The Red Devils yang seakan begitu membenci beliau apabila ada botol yang dilemparkan ke arah beliau.

Kemenangan 2-0 menyebelahi PSG dan kedua-dua jaringan itu terhasil daripada hantaran Di Maria. Ini menunjukkan Di Maria dapat beraksi baik jika kena caranya.

Di Maria mendapat tepukan gemuruh dari penyokong-penyokong PSG setelah khidmat cemerlang beliau membantu kemenangan pasukannya tempoh hari.

Sebagai individu yang cukup berpengalaman, pemain yang dilahirkan di Rosario, Argentina, ini tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya jika tidak dapat beraksi dengan prestasi terbaik ketika bersama dengan Manchester United dulu. Banyak perkara perlu di ambil kira apabila meletakkan penanda aras seseorang lebih-lebih lagi dalam permainan berpasukan seperti bola sepak.

PSG mempunyai aksi timbal balik di laman sendiri untuk pusingan 16 terbaik Liga juara-juara.
Pastinya aksi Di Maria sekali lagi menjadi salah satu tumpuan yang bakal tiba.