Saingan liga super untuk musim 2018 belum pun bermula, namun kehangatannya sudah boleh dirasai. Paling dirasai kini tentunya buat pasukan yang berada di utara tanah air, Kedah Darul Aman.

Disaat pasukan lain sedang sibuk mencari dan menyusun senarai pemain, pasukan Lang Merah dilihat masih belum memberi jawapan mengenai kedudukan ketua jurulatih.

Jawatan itu kini disandang oleh Nidzam Adzha Yusof selepas pemergian Tan Cheng Hoe untuk menyertai senarai jurulatih skuad kebangsaan. Namun desas-desus hangat diperkatakan bahawa dua lagi nama timbul untuk membimbing pasukan Kedah.

Individu pertama adalah bekas pengendali JDT, Mario Gomez yang dikhabarkan amat berminat untuk kembali merasai suasana liga super di Malaysia. Kemampuan dan kebolehan Gomez tidak perlu dipertikaikan kerana umum sedah mengetahui apa yang mampu dilakukan beliau.

Satu lagi nama pula adalah bekas pembantu Tan Cheng Hoe iaitu Ramon Marcote yang dikhabarkan berminat untuk kembali menyertai skuad Kedah.

Jika ditanya secara umum, pasti ada penyokong Kedah yang mahukan Gomez, dan juga ada yang mahukan Marcote. Namun semuanya keputusan adalah ditentukan oleh pihak pengurusan. Penaja utama Kedah , ECK Development dilihat lebih cenderung kepada Marcote berdasarkan atas faktor gaji yang diminta dikatakan bersesuaian.

Bagi penulis, sama ada Gomez mahupun Marcote, kedua-duanya mempunyai kelebihan masing-masing, Cuma pihak pengurusan harus segera membuat keputusan agar jurulatih yang dipilih mempunyai cukup ruang dan masa untuk memilih pemain bagi persiapan musim hadapan.

Lagipun pasukan Kedah merupakan penyandang jara Piala FA dan finalis Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut, jadi persiapan pasukan haruslah padu dan jitu kerana mereka ada sesuatu yang perlu dipertahankan untuk saingan musim 2018.

Jadi mana satu ni ? Gomez atau Marcote?