Manchester United dan Manchester City masing-masing bersaing bagi mengukuhkan kedudukan di Liga Perdana Inggeris(EPL) dengan kedua-dua pasukan menguasai carta liga meninggalkan pasukan handalan lain.

Manchester City kendalian Pep Guardiola membuktikan bahawa pasukannya wajar diberikan tumpuan musim ini selepas melakukan pelaburan besar pada jendela perpindahan lalu. Dengan pembelian lebih terdorong kepada mengukuhkan benteng pertahanan, ramuan dan percaturan Pep dilihat menjadi, apabila The Citizen tidak bolos dalam lima perlawanan terakhir di liga, malah hanya bolos dua kali secara keseluruhan. 19 mata yang dipungut dalam tujuh perlawanan liga membuktikan bahawa Pep Guardiola benar-benar mahu menggapai kejuaraan EPL musim ini.

Manakala bagi The Red Devils, permulaan suram di liga selepas pemergian Sir Alex Ferguson dilihat sudah mula berlalu pergi. Jose Mourinho berjaya sedikit demi sedikit mengembalikan keyakinan peminat Manchester United di seluruh dunia terhadap kemampuan mereka untuk kembali menjadi pencabar utama di saingan liga. Berkongsi 19 mata dengan jiran mereka Manchester City, permulaan Man United dilihat sempurna dengan kekebalan pertahanan dan ketajaman jentera serangan.

Kedua-dua ” Manchester “ ini turut mempamerkan prestasi memberangsangkan di Liga Juara-juara Eropah dan ini pastinya mengimbau kembali perseteruan Pep Guardiola dan Jose Mourinho sewaktu mereka berada di La Liga dahulu. Kekuatan dan kelebihan kedua-dua pasukan ini dilihat seimbang dan sukar untuk dibezakan.

Jika City ada Ederson, United ada De Gea.

Andai City punyai Kyle Walker dan Benjamin Mendy, United punyai Antonio Valencia dan Eric Bailly.

Andai City ada Rahim Sterling, Kevin De Bruyne dan Silva, United ada Henrikh Mikhitaryan, Anthony Martial dan Juan Mata.

Jika Sergio Aguero dan Gabriel Jesus menggegar jaring, Romelu Lukaku dan Marcus Rashford tidak kurang hebatnya.

Sama- sama kita nantikan 9 Disember nanti apabila kedua-dua pasukan ini akan bertemu untuk saingan liga di Old Trafford. Adakah United akan terus kebal di Old Trafford? Atau mungkin City akan terus kekal menerajui carta liga?