Penulis melontarkan cadangan tersebut adalah kerana, sebahagian besar pemain HMC yang berusia bawah 19 tahun bakal membentuk skuad projek Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur.

Kini timbul cadangan menempatkan pemain-pemain tersebut sebagai sebuah pasukan di saingan Liga FAM, sedangkan kesemua pemain HMC sudah pun dilepaskan ke pasukan asal masing-masing.

Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah ketika dihubungi Nadi Arena baru-baru ini turut sukar memberi pengesahan, sama ada pasukan yang akan dibentuk dibawah kendalian jurulatih Jerman, Frank Bernhardt akan bermain sebagai satu pasukan di Liga FAM atau liga lain di luar negara.

Afandi turut berkata, kata putus mengenai kelibat bekas pemain HMC bersama skuad projek Sukan Sea 2017 hanya akan dipastikan, selepas mesyuarat Jawatankuasa Petugas Khas Skuad Kebangsaan bulan ini.

Bagi penulis, sekiranya pemain HMC dikekalkan sebagai satu pasukan, pasti kekeliruan ketika ini tidak timbul.

Ia kerana mereka mampu menjadi teras utama pasukan dan beberapa bekas pemain Harimau Muda B yang sudah kembali ke pasukan asal, boleh dipanggil menguatkan pasukan menjelang Sukan Sea.

Memang benar, tidak semua bekas pemain HMC mampu membarisi skuad utama pasukan Liga Super dan Perdana kerana kecenderungan jurulatih dan pengurusan pasukan yang pasti mengutamakan pemain lebih berpengalaman.

Mungkin bekas pemain Harimau Muda A dan B yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 22 tahun tampak lebih matang dan bersedia bersaing bersama pemain lebih senior dalam pasukan.

Kerana itu, penulis percaya jika dari awal FAM memutuskan pemain dalam skuad HMC dikekalkan sebagai satu pasukan ia mampu membantu pembentukan mereka sebagai pemain profesional serta menjadi teras utama skuad ke Sukan Sea 2017.

Skuad HMC tidak kekurangan pemain berbakat berpotensi dengan Muhamad Jafri Firdaus Chew, Syamer Kutty Abba, Dominic Tan Jun Jin dan M Kogileswaran antara permata yang mampu digilap.

Kini, kesemua bekas tonggak HMC itu sudah pun mengikat kontrak dengan pasukan Liga Super dan Perdana sebaik FAM mengumumkan pembubaran program Harimau Muda.

Bernhardt akui, dia mahu pemain-pemain beraksi sebagai satu pasukan dalam liga bagi memudahkannya mencanang perancangan pasukan menjelang Sukan Sea 2017.

Jika kini FAM sah mahu membentuk pasukan baru untuk beraksi di Liga FAM, ia pasti mengundang rasa kurang senang pengurusan pasukan Liga Super dan Perdana yang sudah mempunyai ikatan kontrak dengan pemain terbabit.

Pengurusan Johor Darul Takzim (JDT) paling awal ingkar, apabila tidak melepaskan lima pemain JDT II yang dipanggil ke latihan pusat, termasuk Dominic.