Ketika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang sibuk merencana dan melaksanakan peta hala tuju bola sepak Malaysia (F:30) mengikut fasa yang telah ditetapkan demi kemajuan bola sepak Malaysia, namun masih ada lagi ahli-ahli gabungan FAM yang tidak menyambut baik apa yang telah diusahakan FAM. Salah satunya penyertaan dalam Malaysia Premier Futsal League (MPFL) dimana hanya lapan pasukan dari ahli gabungan yang menghantar pasukan untuk menyertai liga futsal itu.

Ini menunjukan segelintir pemimpin ahli-ahli gabungan seperti acuh tidak acuh dalam memajukan dan membangunkan industri bola sepak Malaysia. Inilah sikap dan mentaliti yang perlu diubah kerana sekiranya Malaysia ingin maju dalam industri bola sepak bukan hanya memikirkan bola sepak padang sahaja tetapi perlu memikirkan secara keseluruhan sistem dalam memajukan dan membangunkan bola sepak itu.

Penulis sedikit rasa terkilan apabila Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) tidak menghantar pasukan dalam MPFL ini, memandangkan PBNJ dianggap sebuah organisasi pengurusan yang bijak dalam urus tadbir dan membangunkan serta memajukan bola sepak kerana kita dapat lihat sebagaimana Kelab Johor DT ketika ini. Sebagai sebuah organisasi yang berjaya memajukan bola sepak padang sepatutnya PBNJ juga perlu terus menjadi contoh kepada pasukan-pasukan lain dalam membangunkan bola sepak futsal ini kerana ramai anak-anak Johor yang aktif dalam bola sepak futsal ini dan ramai juga diantara mereka telah menyarung jersi negara seperti Muhammad Ekmal Shahrin yang kini beraksi bersama pasukan Melaka.

Selain daripada itu juga PBNJ perlulah menyokong usaha yang dilakukan oleh Presiden FAM Dato’ Hamidin Mohd Amin dalam melaksanakan peta hala tuju bola sepak Malaysia (F:30) ini memandangkan Dato’ Hamidin telah dicadangkan oleh Bekas Presiden FAM sendiri iaitu Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerajui FAM. Semoga MPFL ini terus mendapat perhatian dan kerjasama daripada ahli gabungan FAM.