Soalan pertama saya apabila terserempak pertahanan Perak, Thiago Aquino, selepas perlawanan ialah,`Bro, how's your injury? You need a rest after while? Namun reaksi yang diberi pemain dari Brazil ini sedikit memeranjatkan apabila dia berkata, `Injured? All fine, just a few bleeding, nothing happen. I can play for next game.

Begitulah karakter Aquino yang sememangnya perlu dikagumi dan sentiasa dikenang dalam kalangan penyokong Perak antara pemain yang tidak pernah kenal erti tewas sehingga titisan keringat terakhir.

Musim lalu, penulis masih ingat ketika pasukan Perak tiap kali diambang kekalahan, dia sentiasa akan hadir jadi penyelamat dan sentiasa konsisten menjaringkan gol terutama pada situasi bola sepakan percuma atau penjuru.

Tanpa pedulikan kesakitan serta kekasaran dilakukan lawan, Aquino wajar jadi contoh kepada kawan dan lawan serta mengajar apa itu erti profesionalisme dalam bola sepak.

Mungkin dia sekadar pemain asing yang sekadar cari makan malah tidak mungkin ada pertalian darah dengan bumi Perak tetapi semangat juang pada dirinya ada kala lebih tinggi berbanding pemain tempatan.

Seingat penulis pada aksi di Stadium Perak pada Ahad, dia telah keluar ke tepi padang sekurang-kurangnya empat kali sejak separuh masa pertama bagi dapatkan rawatan dan walaupun terpaksa menyarung mukanya seperti seorang `mumia', dia tidak peduli.

Mungkin jika pemain lain, ada yang sudah meminta dikeluarkan kerana berasa rimas terpaksa beraksi ketika hidung mengeluarkan pendarahan tanpa henti.

Namun, istilah itu tidak ada buat Aquino ketika ditemubual penulis, dalam mindanya hanya satu iaitu mahu beraksi sepanjang 90 minit tambahan aksi separuh akhir Piala Malaysia adalah perlawanan hidup mati buat Perak.

Langsung tidak terlintas mahu keluar dan jika dia berbuat demikian, perkara itu boleh jejaskan motivasi rakan sepasukan ketika mereka bertungkus lumus bendung asakan JDT di babak kedua.

Apa sahaja terjadi di separuh akhir kedua sama ada layak atau tersingkir, nama Thiago tetap akan kekal terpahat dalam kalangan hati penyokong Perak serta peminat lain di luar sana.

Aquino telah tunjukkan apa yang dimaksudkan bermain sepenuh jiwa raga demi lencana di dada walaupun dia adalah seorang pemain asing di bumi Malaysia!