Tersembur biskut tart nenas komuniti hoki membaca pelan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menutup saingan Divisyen 1 Liga Hoki Malaysia (LHM), Januari tahun depan.

Sambil mengunyah, tidak putus-putus mengkritik langkah ke belakang KHM.

"Bukan semua pasukan mampu bermain di Liga Perdana. Macam mana pula dengan nasib pasukan Divisyen 1?" kata seorang peminat.

"Divisyen 1 untuk pembangunan hoki. Adakah KHM fikir mengenai akar umbi?" kata seorang lagi.

Saya merujuk situasi ini dengan barisan lapan pasukan yang mendaftar Liga Perdana 2019.

Antara pasukan dari Divisyen 1 ialah Nur Insafi dan UiTM.

Soalnya mana pasukan lain?

Bukankah mereka sudah lama beraksi dalam Divisyen 1?

Mana Olak? Politeknik-KPT? SSBJ? Waima PDRM yang memiliki ramai pemain kebangsaan seperti Muhammad Razie Abd Rahim dan Nabil Fiqri Mohd Noor?

Antara 13 pasukan Divisyen 1 musim lalu, hanya dua pasukan saja yang berani mencabar Liga Perdana!

Adakah ini arah tuju LHM?

Saya lihat masalah utama ialah kouta pemain import. Jika KHM mengekalkan kuota enam pemain, bagaimana dengan nasib pasukan bajet rendah?

Musim lalu kita menyaksikan bintang seperti David Harte (Ireland) dan Gonzalo Peillat (Argentina) membanjiri Liga Perdana. Tetapi untuk musim depan mungkin hanya kelibat pemain kelas kedua kerana bintang dunia akan terbabit dengan Liga Profesional.

Jadi memandangkan LHM akan hilang sentuhan bintang dunia, maka inilah masa terbaik untuk mengurangkan kuota itu sekali gus melegakan pendatang baru Liga Perdana.

Sekurang-kurangnya, mereka dapat mengimbangi kekurangan pemain kebangsaan yang pastinya mahu menyertai gergasi seperti Universiti Kuala Lumpur, Tenaga Nasional Berhad atau Terengganu Hockey Team.

Tidak mustahil situasi ini akan meningkatkan keyakinan pasukan Divisyen 1 seperti MBPJ Tigers, Remaja Pahang PHP, MSNT-PHT, Kedah Hockey Team dan lain-lain untuk menghubungi pejabat KHM.

Apa natijahnya mempunyai pemain, tetapi apabila Divisyen 1 tutup kedai, pasukan juga bungkus?

KHM juga perlu lebih proaktif. Jangan tunggu panggilan pasukan. Dekati mereka, tanya masalah mereka, anda umpama jurujual yang mahu mendapatkan pelanggan.

Saya harap lebih banyak pasukan sertai Liga Perdana LHM. Era 90-an kita pernah capai 17 pasukan. Adakah kita sudah berpuas hati dengan lapan pasukan untuk 2019?