Persaingan merebut kedudukan teratas carta Liga Perdana Inggeris musim 2020/2021 semakin rancak di peringkat awal pusingan kedua ini. Dalam beberapa minggu sahaja kedudukan carta Liga Perdana Inggeris terus berubah, bermula dari Liverpool, Manchester United dan kini Manchester City. Ini menggambarkan perebutan itu akan terus berlanjutan sehingga penghujung saingan liga. Dengan perebutan itu ia menjadikan Liga Perdana Inggeris semakin meriah dan rancak persaingannya terutama dari tiga pasukan itu.

Berdasarkan kedudukan terkini dan jumlah perlawanan yang masih belum dilalui Man City itu ia memberi kelebihan kepada Pep Guardiola untuk memastikan Man City terus kekal berada di puncak liga. Ini masa terbaik sebenarnya untuk Pep Guardiola membuat perancangan dan strategi dalam menghadapai setiap perlawanan selain memberi kata-kata motivasi kepada pemain-pemainnya untuk terus fokus dan mengambil kesempatan atas prestasi yang kurang konsisten dari pencabar terdekat mereka. Itulah kemahiran dan kepakaran yang dimiliki Pep Guardiola dimana beliau bijak dan mahir dalam bermain emosi pemain-pemainnya.

Tetapi itu bukan bermakna Man City boleh menjadi juara untuk kali ketujuh dengan mudah sebalik perlu berhadapan dengan juara bertahan Liverpool dan Man United yang ketika ini sudah kembali menunjukkan peningkatan dari prestasi pasukannya dari setiap perlawanan walaupun sebelum ini agak tidak konsisten dari segi persembahannya. Contoh terbaik sebagaimana Man United bangkit menewaskan Southampton dengan jumlah jaringan yang besar (9-0) selepas kekalahan yang memalukan di tangan Sheffield United sebelum ini. Begitu juga dengan Liverpool yang sudah dapat rentak kemenangan kembali untuk memberi saingan dan tekanan pada Man United dan Man City.

Dari kedudukan terkini carta Liga Perdana Inggeris itu ia membuatkan semua penyokong-penyokong bola sepak Liga Perdana Inggeris sudah mula membuat congakkan untuk meneka pasukan manakah yang akan menjuarai Liga Perdana Inggeris musim ini. Bagi penyokong-penyokong Man United dan Liverpool, mereka sudah memulakan perang cyber dengan menyatakan kekuatan yang ada pada pasukan kesayangan mereka dan memperli serta melakukan provokasi di antara mereka di platform media sosial terutama penyokong-penyokong Liga Perdana Inggeris di Malaysia. Suasana itu sudah tentu akan menyemarakan lagi kemeriahan Liga Perdana Inggeris di Malaysia. Jadi sama-sama kita semua nantikan pasukan manakah yang akan memjadi juara Liga Perdana Inggeris pada hujung musim nanti.