Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2020/21 membuat sepak mula selepas tempoh rehat singkat, dengan Manchester City diramalkan menjadi juara kembali sambil Arsenal ditelah sekadar berkesudahan di tangga ketujuh.

The Citizens membuka langkah dalam kempen mereka sebagai pasukan pilihan – sedikit di atas Liverpool – selepas mendatangkan pemain seperti Nathan Ake dan Ferran Torres.

Akhbar The Sun meramalkan musim baru ini mungkin yang paling sengit dengan kesemua kelab mengambil langkah memperkuat barisan masing-masing di samping beberapa pembelian baru lagi sehingga tamat jendela perpindahan.

Di sebalik semua itu, City yang diramalkan juara oleh penganalisis data di laman fivethirtyeight.com.

Laman itu meramalkan di kedudukan mana setiap pasukan akan berkesudahan dan berapa jumlah mata yang akan diraih mereka.

Menggunakan sistem Indeks Soccer Power, fivethirtyeight.com telah merangka penarafan serangan setiap pasukan dan turut menghitung berapa gol yang setiap pasukan akan jaringkan dalam setiap perlawanan.

Mengarut bunyinya, bukan?

Penarafan SPI itu dikira daripada musim terdahulu di samping nilai pasaran semasa setiap kelab.

Berdasarkan kira-kira dalam setiap perlawanan, City diramalkan akan muncul juara dengan himpunan 88 mata atau tujuh mata melebihi jumlah yang mereka raih musim lalu.

Liverpool, juara selepas penantian 30 tahun, diramalkan akan berkesudahan selaku naib juara dengan 81 mata atau merosot 18 mata daripada jumlah yang menabalkan mereka sebagai pemenang musim lalu.

Fivethirtyeight.com turut meramalkan kelompok empat teratas yang sama seperti musim lalu, dengan United sekali lagi akan mengisi tangga ketiga, disusuli Chelsea di tangga keempat.




Bakal tercicir daripada slot Liga Juara-Juara ialah Tottenham Hotspur, dengan Leicester City kendalian Brendan Rodgers diduga kekal cemerlang di tangga keenam.

Arsenal diunjurkan naik setangga daripada ketujuh musim lalu, dengan Wolves, Everton dan Southampton bakal melengkapkan kelompok 10 teratas.

Pada masa yang sama, Newcastle yang berharap meraih tempat dalam kancah Eropah jika pengambilalihan kelab itu yang bernilai £300 juta dapat disempurnakan, diramalkan hanya sedikit melepasi garis diturunkan divisyen.

Kesemua tiga kelab yang baru dinaikkan pula berkemungkinan turun semula ke Liga Kejuaraan, termasuk Leeds United, di sebalik ramai pengulas bola speak di televisyen menawarkan harapan untuk ketiga-tiganya kekal.

Seakan-akan senada dengan laman fivethirtyeight.com, bekas penyerang England, Gary Lineker, turut meramalkan Man City akan mengatasi Liverpool dengan perbezaan mata yang amat tipis pada penghujung musim untuk merampas kejuaraan.

Lineker, kini seorang penyampai dan pengkritik bola sepak di televisyen, berasakan Liverpool akan lebih berpeluang jika berjaya mendapatkan Thiago Alcantara daripada Bayern Munich, tambahan pengalaman menunjukkan juara hendaklah melabur untuk memperkuatkan pasukan andai mahu mengekalkan gelaran.

Semua itu, bagaimanapun, hanya bersifat ramalan dan perlulah tunggu hingga akhir musim untuk melihat ketepatannya.

Barangkali apa yang lebih jelas ketika ini ialah musim 2020/21 bakal menjadi perlumbaan ‘dua kuda’ seperti musim lalu.