Itu mungkin antara yang diharapkan oleh pengendali baru Real Madrid, Zinedine Yazid Zidane selepas menggantikan Rafael Benitez bagi harungi baki musim 2015/2016.

Zidane satu nama yang cukup besar dan dikagumi penulis sewaktu zamannya sebagai pemain.

Dia merupakan antara nadi utama skuad kebangsaan Perancis merangkul gelaran Piala Dunia 1998 serta Kejohanan Eropah 2000.

Selain itu, Zidane pernah muncul antara pemain termahal dunia apabila berhijrah ke Real Madrid dari Juventus pada 2001, menjadi sebahagian daripada skuad bintang ternama yang turut dibarisi Ronaldo, David Beckham serta Luis Figo.

Detik paling manis Zidane bersama skuad "The Galacticos" sudah pasti "volley" cantik bagi membantu Real Madrid memenangi saingan Liga Juara-Juara 2002.

Figura yang kelahiran Marseille berketurunan Algeria ini bagaimanapun menutup karier dengan kekecewaan selepas menerima kad merah ketika aksi final Piala Dunia 2006 di Jerman akibat menanduk pemain Itali, Marco Materazzi.

Ketiadaan Zidane menyaksikan Perancis tumpas kepada Itali menerusi penentuan penalti.

Dia kemudian mengalihkan tumpuan kepada bidang kejurulatihan dengan diberi kepercayaan membimbing pasukan kedua Real Madrid yang lebih terkenal dengan jolokan "Castilla".

Malah dia juga merupakan pembantu kepada Carlo Ancelotti, individu yang bertanggungjawab mengemudi Real Madrid memenangi gelaran ke-10 Eropah pada 2014.

Antara penanda aras bagi mengukur kejayaan pemain yang menjadi pengurus sudah pasti Pep Guardiola yang cemerlang meraih 14 kejuaraan bersama Barcelona sepanjang 4 musim, termasuk 2 gelaran Liga Juara-Juara Eropah.

Seperti juga Zidane, Guardiola diberi kepercayaan mengendali Barcelona B sebelum dilantik pengurus skuad utama pada 2008.

Guardiola kemudian meneruskan kecemerlangannya bersama Bayern Munich, sekaligus menjadi antara pengurus yang terbaik pada zaman moden ini.

Kini tumpuan sama turut terarah kepada Zidane yang pastinya ingin buktikan dia mampu raih kejayaan sebagai pengurus.

Sebagai individu yang pernah dilatih nama-nama besar seperti Gerard Houllier, Aimi Jacquet serta Marcelo Lippi, penulis yakin Zidane punyai identiti tersendiri yang dapat membantu Real Madrid beri cabaran bagi kempen La Liga serta peringkat Eropah musim ini.

Tidak mustahil sedikit masa lagi, Zidane juga dapat raih kejayaan sepertimana yang dikecapi Guardiola.