Jurulatih sensasi tanahair itu dijadual memulakan tugas pertamanya bersama pasukan Selangor untuk menghadapi kancah Liga Malaysia 2016.

Fokus lensa kamera pada sesi latihan pasukan itu sudah pasti terarah kepada Zainal susulan daripada penghijrahan kontroversinya ke Selangor.

Bekas pengendali Pahang itu menggantikan Mehmet Durakovic yang 'disingkirkan' walaupun berjaya melunaskan misi 33 Selangor.

Ceritanya lebih sedih apabila Durakovic masih mempunyai baki kontrak setahun bersama The Red Giants.

Betul lah orang kata 'bola itu kejam'.

Mahu tidak mahu, gergasi Merah Kuning tetap diterajui nakhoda baru selepas Zainal yang juga bekas pemain kebangsaan era 80an dan 90an mengikat kontrak selama dua tahun.

Zainal sememangnya tidak asing dalam kancah bola sepak Malaysia.

Lahir pada 9 November 1961, anak jati Selangor ini juga dianggap antara legenda bola sepak negara.

Beliau mengecapi banyak kejayaan dalam kariernya sebagai pemain dan paling diingati ketika membantu Selangor meraih gelaran treble pada 1997 menerusi trofi Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia pada usia 37 tahun.

Dilaporkan juga, Zainal antara pemain kebangsaan paling banyak beraksi di pentas antarabangsa dengan 138 caps sejak 1980 hingga 1997.

Beberapa kejayaan dikecapinya dalam tempoh itu antaranya pingat gangsa Sukan SEA 1985, pingat perak Sukan Sea 1987 dan pingat emas Sukan Sea 1989.

Pencapaian Zainal sebagai jurulatih juga tidak kurang hebatnya apabila meraih beberapa kejuaraan dengan tiga trofi kejuaraan bersama skuad Tok Gajah pada 2014 paling cemerlang.

Selepas 17 tahun meninggalkan Selangor iaitu ketika bersara sebagai pemain pada 1999, legenda jersi nombor 17 ini kembali menabur bakti untuk negeri kelahirannya dengan keazaman memastikan pasukan ini lebih cemerlang musim ini.

Namun, mampukah Zainal?