Kemenangan Australia ke atas Honduras dalam aksi playoff kelayakan Piala Dunia 2018 menyaksikan Konfederasi Bola Sepak Asia, AFC mempunyai lima wakil sebagai sandaran utama di Rusia nanti.

Ia menyaksikan penambahan satu pasukan berbanding edisi 2014 di Brazil, di mana ketika itu Asia diwakili Australia, Jepun, Iran serta Korea Selatan.

Keempat-empat pasukan ini meneruskan kesinambungan apabila masing-masing menempah slot ke Rusia selain penyertaan semula Arab Saudi yang kali terakhir menjejak kaki di pentas Piala Dunia pada 2006 di Jerman.

Melihat kembali kepada persembahan wakil Asia di Brazil pada 2014, ia sesuatu yang amat mengecewakan tiada satu pun pasukan yang mampu melepasi peringkat kumpulan.

Australia tewas kesemua pertemuan menentang Belanda, Chile serta Sepanyol manakala Jepun, Iran dan Korea Selatan hanya sekadar mengutip satu mata daripada tiga perlawanan.

Berbeza dengan edisi empat tahun sebelumnya di Afrika Selatan apabila Jepun serta Korea Selatan berjaya meneruskan kemaraan ke pusingan 16 terbaik.

Nyata kegagalan di Brazil menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana kemampuan wakil dari Asia untuk mencabar pasukan handalan dunia.

Meskipun ada yang tampil dengan corak permainan menyerlah khususnya dalam aksi persahabatan menentang pasukan ternama namun suasana itu jauh berbeza apabila hari pertandingan yang sebenar tiba.

Lantas penulis mengharapkan persembahan yang lebih baik daripada wakil Asia tahun hadapan apatah lagi impian untuk menyaksikan Malaysia beraksi di pentas tertinggi ini masih menjadi persoalan yang belum ada jawapannya.

Selain mengharapkan kebangkitan wakil Asia, saingan Piala Dunia 2018 nanti juga menyaksikan buat kali pertama tiga wakil Scandinavia iaitu Iceland, Sweden dan Denmark mara ke pusingan akhir secara serentak.

Malah empat negara Arab turut akan kibarkan cabaran masing-masing iaitu Arab Saudi, Tunisia, Mesir serta Maghribi.