Bekas penjaga gol kebangsaan dan Terengganu, Sharbinee Allawee merupakan antara penjaga gol terbaik negara yang pernah dilahirkan.

Pada usia 31 tahun, masih banyak mampu dicurahkan penjaga gol berpengalaman ini sekalipun dihimpit masalah kesihatan yang serius selepas baru pulih daripada kanser darah.

Nasib Sharbinee bersama skuad negara mungkin tidak begitu baik terutama ketika beraksi pada perlawanan pembukaan Piala AFF 2010 bila Malaysia dibelasah 5-1 oleh Indonesia selain bolos lima kali juga ketika bertemu Singapura pada tahun 2011 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2014.

Bagaimanapun, bagi pentas domestik, Sharbinee layak diangkat antara legenda penjaga gol terbilang Terengganu yang pernah dilahirkan.

Disambar Kuala Lumpur yang jadi pasukan paling bermasalah di posisi penjaga gol musim ini, diharap ia mampu jadi detik terbaik buat Sharbinee kembalikan kariernya selepas hampir berkubur kerana masalah kesihatan.

Semua sedia maklum Kuala Lumpur jadi pasukan paling teruk dibolosi iaitu 27 gol dalam 12 perlawanan dan semuanya ada kaitan dengan kelemahan dipamer tiga penjaga gol sebelum ini, Kamarul Effendi Abdul Rahim, Ahmad Solehin Mamat dan Khatul Anuar Abdul Jalil.

Sharbinee mungkin akan berdepan sedikit tekanan bagi penuhi harapan disandar pada dirinya namun itu bukan isu utama.

Persoalan paling besar adakah keadaan fizikal Sharbinee bersedia hadapi bekas pasukannya, Terengganu di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 2 Jun serta perlawanan lain dalam masa terdekat setelah setahun tidak menyentuh bola bagi tujuan penyembuhan penyakit kanser darah?

Perkara ini cukup menarik untuk diperkatakan ketika pasukan lain tidak berani dapatkan Sharbinee kerana bimbang masalah kesihatannya akan berulang atau beri kesan pada penurunan prestasi.

Jika Sharbinee dapat jadi jawapan terbaik kepada krisis penjaga gol dialami Kuala Lumpur, maka Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur(KLFA ) boleh menarik nafas lega atas keputusan penuh berisiko ini.