Selepas tewas kepada pasukan Jepun tempoh hari dengan keputusan 0–2 dalam saingan AFC bawah 16 tahun, nama Lim Teong Kim terus menjadi begitu popular dan sebutan di bibir peminat bola sepak tanah air.

Masakan tidak, beberapa detik selepas kekalahan tersebut, beliau terus dipecat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selaku jurulatih skuad bawah 16 tahun negara berikutan kegagalan mencapai sasaran untuk mara sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir bagi menjamin tempat ke Piala Dunia bawah 17 tahun hadapan.

Penulis sejujurnya tidak tahu mana satu keputusan yang tepat. Membaca komen peminat bola sepak di laman sosial, ada yang menolak Lim Teong Kim, namun tidak kurang juga yang menyokong andai beliau terus dikekalkan dalam program pembangunan berdasarkan kepakaran yang dimiliki.

Terbaru, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi menterinya, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan bahawa Lim Teong Kim masih lagi Pengarah Akademi Bolasepak Negara (NFDP) dan kedudukan itu tidak akan terjejas. Penulis percaya perkembangan ini sudah tentu melegakan hampir 25,000 pelatih NFDP yang sebelum ini dilihat tiada hala tuju jika program itu dibubarkan.

Cuma isu susulan yang berkaitan terutama kewangan pastinya akan merencatkan perjalanan NFDP di masa akan datang.

Jika sebelum ini gaji yang diterima LTK agak tinggi, ianya pasti akan dikaji semula. Begitu juga dengan perlawanan dengan kelab kelab Eropah, andai pelaburan tidak dilakukan, sudah pasti tidak akan ada lagi pendedahan peringkat tertinggi kepada pelatih NFDP.

Andai berterusan tanpa kewangan yang kukuh serta penaja, adakah Lim Teong Kim dan para pelatih mampu bertahan demi kelangsungan pembangunan bola sepak tanah air?