Pertemuan antara Juara Wanita Smackdown, Charlotte Flair dengan Asuka merupakan sesuatu yang di luar jangkaan. Berada dalam dua jenama yang berbeza membuatkan WWE Universe hanya mampu bermimpi agar perlawanan antara dua jaguh wanita ini menjadi kenyataan.

Namun situasi berubah 360 darjah di acara WWE Fastlane minggu lalu. Setelah Charlotte berjaya mempertahankan kejuaraannya dengan menumpaskan Ruby Riott, lagu tema Asuka bergema menandakan yang bintang wanita tidak terkalah itu telah memilih haluannya dalam perjalanan menuju ke Wrestlemania pada 9 April depan.

Selaku pemenang pertama dalam sejarah perlawanan Royal Rumble wanita, Asuka bebas memilih kejuaraan mana untuk dicabar. Sama ada Kejuaraan Wanita Raw yang kini masih kekal tersemat di pinggang Alexa Bliss, atau Kejuaraan Wanita Smackdown yang disandang puteri kepada lagenda Ric Flair itu.

Ketika segmen promo antara Charlotte dan Asuka di siaran Smackdown Live minggu ini, The Queen sendiri mengakui bahawa perlawanan dengan Asuka merupakan impiannya. Bukan saja ia dapat menguji kehebatannya selaku juara, malah ini merupakan satu peluang buat Charlotte menjadi individu pertama untuk memecahkan dominasi rekod tanpa kalah Asuka sejak tahun 2015.

Bagi Asuka pula, mengutarakan cabaran kepada Charlotte tidak lain dan tidak bukan adalah untuk membuktikan dirinya adalah yang terhebat. Dengan menumpaskan Charlotte yang kini telah bergelar juara sebanyak enam kali (sekali di NXT, sekali di Smackdown dan empat kali di Raw), maka secara tidak langsung ia akan memberi isyarat bahawa dirinya adalah yang terbaik dan tiada siapa yang akan bersedia untuk berhadapan dengannya.



Ternyata, Asuka membuat pilihan yang bijak dengan memetik Charlotte berbanding Alexa Bliss di Raw. Secara atas kertas, jika Asuka bertemu Bliss, dengan mudah para peminat dapat membuat telahan siapakah yang akan bergelar pemenang. Bukan ingin menafikan kemampuan Bliss, namun bahang kehangatan bertemu Charlotte lebih mengujakan. Tambahan pula ini adalah perlawanan di temasya Wrestlemania, pentas gilang-gemilang yang bukan calang-calang prestijnya.

Sejak menyertai WWE di bawah jenama NXT pada lewat 2015, Asuka dilihat begitu gah di persada divisyen wanita di sana dengan beroleh kemenangan demi kemenangan. Satu demi satu lawan tumbang kepadanya. Malah Kejuaraan Wanita NXT yang diperolehnya daripada Bayley di acara NXT Takeover Dallas pada 1 April 2016 tidak terusik dan bintang lain hanya mampu berputih mata untuk merampas kejuaraan daripada bintang berusia 36 tahun itu.

Sejak itu, Asuka tidak menoleh ke belakang lagi. Hampir dua tahun The Empress Of Tomorrow bergelar juara tanpa sesiapa mampu mengusiknya. Kejuaraan yang dimenanginya itu hanya dilepaskan pada Ogos tahun lalu akibat mengalami kecederaan tulang bahu dan terpaksa berehat selama enam ke lapan minggu untuk pulih.

Mungkin menyedari tiada siapa lagi yang boleh memberi cabaran kepadanya di NXT. Di acara WWE TLC pada Oktober, Asuka diserapkan ke jenama Raw dan meneruskan kelangsungan legasinya sebagai jaguh wanita yang sukar digugat. Sehingga kini, belum ada mana-mana penggusti wanita yang berjaya melakukan tiga tindanan pin mahupun memaksa Asuka menyerah kalah melalui gerakan submission. Semuanya tumbang dan penguasaan Asuka seakan tiada henti apabila beliau memenangi perlawanan Royal Rumble wanita dua bulan lalu.



Situasi yang sama juga dilihat berlaku kepada Charlotte di Smackdown. Sejak dipindahkan ke jenama di bawah kendalian Shane McMahon dan Daniel Bryan itu, The Queen terus menyambung legasi yang dicipta bapanya dengan muncul juara pada November tahun lalu, seterusnya mencipta rekod sebagai penggusti wanita pertama pernah memenangi semua kejuaraan wanita WWE iaitu NXT, Divas, Raw dan Smackdown.

Malah tidak keterlaluan untuk dikatakan yang Charlotte adalah juara yang lebih dominan apabila di acara WWE Survivor Series pada November lalu, beliau telah menumbangkan Juara Wanita Raw, Alexa Bliss. Sekaligus membuktikan yang dirinya adalah juara antara juara.

Agak sukar untuk peminat meneka siapakah yang bakal beroleh kemenangan dalam perlawanan yang pastinya menjanjikan aksi sengit dan klasik ini kelak. Kedua-dua Charlotte dan Asuka pasti akan melakukan apa sahaja bagi memastikan kemenangan masing-masing dan ia sudah tentu akan melakar sejarah yang tersendiri bukan sahaja di Wrestlemania, malah untuk divisyen wanita di WWE.

Menariknya, jika ditakdirkan Asuka berjaya menewaskan Charlotte, sudah tentu bintang Jepun dari Osaka, Jepun ini akan berhijrah ke Smackdown. Ia sekaligus akan mengubah lanskap divisyen wanita di sana dan pertembungan semula dengan Charlotte pasti akan berlaku untuk siri-siri perlawanan akan datang.



Dalam masa yang sama, pemegang beg bimbit yang berisi kontrak Money In The Bank, Carmella pastinya akan sentiasa memantau perkembangan konfrontasi antara Charlotte dan Asuka. Pertembungan sengit antara kedua-dua mereka kelak sudah tentu akan melelahkan. Dan ia merupakan peluang keemasan buat Carmella untuk menunaikan kontraknya, seterusnya berpeluang untuk memiliki Kejuaraan Wanita Smackdown. Mengulangi apa yang pernah dilakukan oleh Seth Rollins di acara kemuncak Wrestlemania pada tahun 2015 yang lalu.

Yang jelas, individu yang boleh menarik nafas lega dengan tindakan Asuka memilih Charlotte tidak lain dan tidak bukan Juara Wanita Raw, Alexa Bliss. Setelah beberapa kali cuba mengelak daripada bertemu Asuka, kini ancaman terbesarnya itu tidak lagi memicing ke arahnya dan tiada apa lagi perlu dibimbangi.



Namun itu tidak bermakna Miss Bliss boleh terus sila panggung di kerusi takhta wanita Raw. Bintang-bintang lain sudah tentu akan berusaha untuk meraih peluang bagi merampas kejuaraan tersebut di Wrestlemania. Terutama Nia Jax yang telah sekian lama ‘kebulur’ dan mengidamkan untuk bergelar juara tanpa diberi peluang walau sekali untuk mencabar Bliss selama ini.

Bidalan yang mungkin sesuai buat Alexa kini, terlepas dari mulut buaya, masuk ke mulut harimau.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acaraWWEWrestlemania dan kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro dan Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.