Jorge Sampaoli antara nama yang menerima begitu banyak kritikan sejak menduduki kerusi panas ketua jurulatih pasukan kebangsaan Argentina.

Bekas jurulatih Chile dan Sevilla itu dikritik pelbagai pihak yang berasakan taktikal dan corak permainan yang diterapkan Sampaoli tidak sesuai buat Argentina.

Bagaimanapun, Sampaoli tidak mahu mengambil pusing terhadap segala kritikan yang dilemparkan kepadanya, malah mahu membuktikan kemampuan sebenarnya dalam aksi Piala Dunia Rusia 2018 nanti.

Terbaru, beliau mengumumkan senarai 35 pemain yang dipanggil sebelum skuad dikecilkan kepada 23 pemain untuk pengumuman rasmi nanti.

Seperti biasa, Sampaoli memanggil beberapa muka baru antaranya pemain Sporting Lisbon yang tidak pernah beraksi, Rodrigo Battaglia, selain penjaga gol River Plate, Franco Armani.

Selain itu, Sampaoli turut memanggil pemain di barisan serangan seperti Lionel Messi, Gonzalo Higuain, Paulo Dybala, Mauro Icardi, Sergio Aguero, Diego Perotti dan Lautaro Martinez.

Kehadiran Paulo Dybala sedikit mengejutkan memandangkan Sampaoli pernah membuat kenyataan bahawa peranan Dybala adalah sama seperti peranan Messi di atas padang dan atas sebab itu, Dybala tidak dipanggil sewaktu pusingan kelayakan Piala Dunia yang lalu.

Bahagian tengah pula seperti biasa dipenuhi senarai pemain yang berkelana di Eropah seperti Angel De Maria, Ever Banega, Guido Pizarro dan Lucas Biglia.

Nama lain yang menjadi pilihan adalah Leandro Paredes, Giovani Lo Celso, Enzo Perez, Manuel Lanzini, Cristian Pavon, Maximiliano Meza dan Ricardo Centurion.

Barisan pertahanan pula dibarisi nama-nama yang tidak asing lagi seperti Gabriel Mercado, Federico Fazio, Nicolas Otamendi, German Pezzella, Ramiro Funes Mori, Marcos Rojo, Javier Mascherano selain Nicolas Taglafico, Marcos Acuna, Eduardo Salvio dan Cristian Ansaldi.

Empat nama dipanggil untuk penjaga gol, iaitu Sergio Romero, Nahuel Guzman, Wilfredo Caballero dan Franco Armani.

Argentina diundi sekumpulan dengan Iceland, Croatia dan Nigeria untuk saingan di Russia nanti dan pastinya mereka bukanlah pasukan yang mahu tersingkir awal di peringkat kumpulan.

Adakah Sampaoli mampu membawa Argentina mengulangi pencapaian pada Piala Dunia 2014 apabila melangkah ke perlawanan akhir? Tepuk dada tanya selera.