"MOM (Majlis Olimpik Malaysia) minta deposit 50 peratus, tapi kami sudah bayar semua RM70,000".

Saya kagum dengan usaha ahli jawatankuasa eksekutif Persatuan Hoki Dalam Air Malaysia (MUHA) yang jadi salah satu daripada beberapa persatuan gergasi yang berjaya melunaskan 100 peratus kos penyertaan atlet mereka ke Sukan SEA Filipina.

Presiden, Ishmael Fadullah Ho, melaksanakan tugas dengan baik sama ada menerusi usaha mendapatkan penaja atau kempen kutipan derma.

Walaupun MOM melarang MUHA mengutip derma tetapi ia terbukti berjaya mencapai matlamat utama iaitu menyediakan kos.

Pada awalnya, ramai yang memandang sinis usaha MUHA tetapi saya fikir, mereka buka satu pendekatan baru untuk mencari dana.

Berapa banyak persatuan yang gagal membayar deposit 50 peratus?

"Lebih daripada sembilan," kata Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib.

"Jika mereka gagal membayar deposit hingga 28 September, MOM boleh batalkan penyertaan atlet mereka," katanya.

Apa yang mengecewakan, persatuan gergasi yang memiliki reputasi besar turut berada dalam senarai itu.

Mungkin mereka sudah selesa memegang jawatan atau memiliki 'kabel kuat' di MOM hingga terlepas tarikh akhir pembayaran deposit iaitu 20 September lalu.

Mungkin mereka menghadapi masalah teknikal tetapi realitinya, mereka terlepas tarikh itu.

Bukankah MOM sudah memaklumkan perkara ini (deposit 50 peratus) selepas tamat Sukan Asia Indonesia 2018?

Saya fikir mereka patut malu dengan MUHA yang baru didaftarkan di Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS), Mac lalu.

Sebuah persatuan baru, yang dipandang sinis kerana usaha mendapatkan dana tetapi sudah mula beri tamparan kepada pegawai yang menganggap diri mereka lebih penting berbanding jurulatih dan atlet.