Skuad bola sepak Malaysia, jika hendak dibandingkan dengan Argentina, memang "jauh panggang dari api', tidak akan terbakar langsung.

Argentina sudah dua kali menjulang Piala Dunia, dua kali juara Copa America dan sudah dua kali dikalungkan pingat emas Sukan Olimpik.

Malaysia pula masih menggamit memori sebagai juara Piala Suzuki AFF 2010 di samping kelayakan ke Sukan Olimpik Moscow 1980 -- sudah hampir empat dekad lalu.

Memang jauh berbeza, namun jangan bimbang, masih ada persamaan jika kita hendak kaitkan Malaysia dengan Argentina.

Kegagalan skuad negara untuk memanfaatkan penganjuran Piala Airmarine -- untuk sekurang-kurangnya melonjak satu anak tangga ke ranking ke-34 Asia -- mengundang kritikan hebat di laman sosial.

Tewas kepada Singapura bermakna impian Malaysia untuk ke final dan menjuarai kejohanan yang dianjurkan sendiri itu musnah serta-merta.

Sejajar dengan kegagalan itu, pemain negara -- tidak terkecuali ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe -- bukan sahaja mendapat kritikan tetapi juga kejian, cacian, tohmahan dan penghinaan daripada peminat tanah air.

Kutukan seperti itu tidak hanya terhenti kepada pemain sahaja, malah turut melibatkan pihak lain yang tiada kena-mengena (“mentang-mentanglah bini 'kawan' tu selebriti”, sampai dia pon terkait sama).

Buat pemain negara, diharapkan anda tidaklah terlalu terkesan dengan penghinaan seperti itu kerana percayalah, anda tidak keseorangan, bahkan ikon bola sepak dunia, Lionel Messi, sekalipun tidak dapat mengelak daripada berdepan perkara sama.

"Anak saya tanya kenapa mereka hina saya di Argentina," kata Messi selepas dikritik hebat penyokong Argentina kerana tidak mewakili negara itu berdepan Maghribi, baru-baru ini.

Buat peminat bola sepak tanah air, tolonglah jadi profesional juga ketika memberikan kritikan.

Jangan lupa pemain juga manusia biasa yang ada perasaan dan keluarga.

Cubalah letak diri anda di tempat mereka, apa pula yang anda semua rasa.

Bak kata Higuain, yang baru mengumumkan persaraan di peringkat antarabangsa, mengkritik dirinya dan mutu permainannya masih boleh diterima tetapi sampai menghina keluarga, itu dah melampau, baik berhenti daripada bermain bola sepak.

Jadi, jika Malaysia tidak mampu untuk menyaingi prestasi Argentina sekalipun, penyokong Malaysia kini sekurang-kurangnya sudah setaraf dengan penyokong Argentina dalam mengutuk pasukan sendiri.