Sukan Olimpik Rio 2016 masuk hari ketiga secara rasminya selepas upacara pembukaan yang telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang Jumaat lalu di Stadium Maracana, Rio De Jeneiro Brazil, sekali gus menutup sedikit segala kekurangan dari pihak penganjur yang banyak ditimbulkan sebelum ini.

Dunia kini hanya tertumpu kepada atlet negara masing-masing dan acara-acara yang telah dan sedang berjalan.

Ada sudah atlet-atlet mereka yang menang, mencipta sejarah dan tidak kurang pula yang kalah.

Bukan semua atlet-atlet yang layak ke Olimpik akan menang pingat. Untuk hanya layak ke Olimpik, memerlukan minimum kelayakkan untuk acara individu manakala bagi berpasukan pula, pasukan anda perlu layak menerusi pusingan kelayakkan yang begitu mencabar yang ditetapkan oleh persatuan sukan dunia masing masing.

Bukan mudah hendak ke Olimpik kerana Sukan Olimpik adalah temasya sukan yang terbesar di dunia dan tahap yang tertinggi untuk semua Sukan. Mungkin bola Sepak boleh dikecualikan.

Saya pernah ke tiga Sukan Olimpik dari 1992 Barcelona, 1996 Atlanta dan 2000 di Sydney. Buat sukan saya hoki, kami masih lagi gagal ke Olimpik dan saya pasti pemain pemain begitu kecewa. Begitu bermakna bagi seorang atlet berada di Sukan Olimpik kerana ia juga akan melengkapkan karier seseorang atlet itu.

Buat atlet-atlet negara seramai 32 orang yang berada di Rio sekarang ini, anda antara yang terbaik dalam sukan masing-masing. Yakini diri dan kebolehan anda. Berada di sana sudah membanggakan kita semua.

Selepas hari ketiga, beberapa atlet-atlet kita telah beraksi dan setakat ini aksi mereka mungkin belum berjaya menandingi atlet-atlet yang lebih cemerlang dari Negara lain, tetapi tidak semestinya kita terus menghukum dan mencaci mereka.

Seperti pemanah-pemanah, perenang, Wilsom Sim, dan penembak, Jonathan Wong, yang telahpun beraksi, mungkin setakat itu tahap terbaik mereka ketika ini. Tiada atlet yang ingin kalah. Saya percaya mereka telah melakukan sebaik mungkin tambahan pula faktor umur yang masih muda.

Mereka mempunyai acara seterusnya untuk mereka terus berjuang. Jika kita rakyat Malaysia tidak terus memberikan kata-kata semangat kepada atlet kita, siapa lagi yang mereka boleh harapkan untuk memberikan mereka semangat dan sokongan.

Di media sosial banyak yang memberikan komen-komen yang tidak konstrukstif dan negatif di atas kegagalan mereka. Banyak juga yang memberi komen positif bukan tiada, itu anda perlu teruskan.

Komen-Komen negatif ini mungkin akan dibaca oleh atlet-atlet lain yang belum turun beraksi dan ini tidak secara langsung akan memberikan tekanan yang tidak diundang kepada mereka nanti. Terutamanya atlet-atlet yang berpotensi memenangi pingat untuk negara.

Kita rakyat Malaysia serta media masa, kita harus tahu dan mempunyai peranan sebenarnya di sepanjang Sukan Olimpik ini. Peranan kita adalah memberikan semangat kepada atlet-atlet yang sedang berjuang. Laporan dan juga komen-komen yang positif boleh membantu. Saya berkata begitu kerana saya pernah berada di situasi ini.

Atlet-atlet ini adalah duta Malaysia di Olimpik. Hanya 32 orang sahaja dari 30 juta rakyat Malaysia yang berjaya ke sana jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat 600 atlet layak ke Sukan Olimpik. Kita harus sanjung 32 atlet ini.

Dengan misi membawa pulang emas pertama buat negara, kita semua harus bersatu memberikan kata-kata dan komen-komen yang positif supaya atlet-atlet ini tahu yang 30 juta rakyat Malaysia bersama mereka di sepanjang temasya Olimpik ini bagi realisasikan emas pertama kita.