Ketika peminat-peminat bola sepak negara mengharapkan satu permainan yang kemas dan tersusun mengikut falsafah dan DNA yang diwujudkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melalui “road map” yang dilancarkan pada penghujung 2019 pada pertemuan menentang Emeriah Arab Bersatu (UAE) tidak kelihatan.

Walaupun Tan Cheng Hoe menurunkan kesebelasan terbaiknya, namun sayangnya permainan secara “build up attack” dengan hantaran-hantaran pendek ke hadapan, tekanan awal diberikan pada lawan, bertahan bermula di bahagian penyerang dan menyerang bermula dari penjaga gol tidak dipraktikan. Itulah corak dan cara permainan yang sepatutnya dimainkan oleh pemain-pemain negara, namun semua itu tidak terjadi seperti di rancang.

Sebagaimana yang dilihat anak-anak didik Tan Cheng Hoe bagaikan hilang arah dan tiada keyakinan diri yang tinggi sepanjang perlawanan berlangsung, terutama di bahagian ‘midfield’. Dengan formasi 4-1-4-1 sepatutnya ia tidak memberi masalah kepada pemain-pemain Malaysia untuk memberi saingan kepada pemain-pemain UAE baik ketika menyerang dan bertahan kerana dengan formasi itu ia mampu mengimbangi kekuatan UAE sekiranya semua pemain negara memainkan peranan mereka, terutama di bahagian midfield. Secara tidak langsung ia mampu memperkuatkan bahagian midfield sekiranya formasi itu dipratikkan dengan betul oleh anak-anak didik Cheng Hoe kerana ia akan menjadi 1-4-5 ketika bertahan dan 4-4-2 atau 5-3-2 ketika menyerang.

Didapati juga pemain-pemain ‘midfield’ negara tidak bermain sebagai satu unit dan sentiasa berada di luar zon mereka terutama ketika bertahan, di mana keduduk begitu selari ketika bertahan dan tidak ada bentuk ‘diamond' atau ‘tracking’ yang boleh menyekat hantaran lawan dan sudah tentu ia memudahkan pihak lawan melakukan hantaran lolos kehadapan untuk memberi tekanan pada pertahanan negara. Sementara Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh terlalu keluar tidak masuk ke dalam untuk mengecilkan ruang tengah supaya dapat membantu pemain midfield menghalang dan memintas setiap larian-larian lawan serta hantaran.

Kurangnya komunikasi juga menyebabkan pemain-pemain negara seperti hilang arah sehingga tidak dapat membaca setiap pergerakan pemain-pemain UAE yang sentiasa bergerak mencari ruang kosong untuk menampakkan laluan hantaran mereka, berbanding dengan pemain-pemain negara yang lambat bergerak untuk membuka ruang. Penambahbaikan perlu dilakukan segera oleh Cheng Hoe serta memperbaiki kelemahan yang ada sebelum perlawanan seterusnya supaya anak-anak buahnya tidak terus mati akal dalam mencari kemenangan.